Home » » GRO menari erotik dicekup

GRO menari erotik dicekup

Written By aku on Thursday 19 December 2013 | 2:09 pm


IPOH – Bukan hanya tidak serik walaupun pernah diserbu pihak berkuasa sebelum ini, malah kali ini sebuah pusat hiburan di Jalan Pasir Puteh di sini bertindak lebih berani dengan menyajikan tarian erotik bagi melariskan perniagaannya.
(Gambar Hiasan)
Bagaimanapun, 10 gadis pelayan pelanggan (GRO) yang sedang asyik menarikan tarian tiang dengan aksi mengghairahkan pucat lesi apabila premis tersebut diserbu polis malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, premis berkenaan diserbu pada kira-kira jam 9.30 malam selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai selain risikan dilakukan pihaknya.

Menurutnya, kesemua gadis berusia di antara 25 hingga 30 tahun itu menari selama 10 minit untuk beberapa sesi dengan bayaran antara RM100 hingga RM200.

“Tiga yang ditahan merupakan warganegara Thailand manakala selebihnya adalah warga Vietnam. Hasil siasatan mendapati lima daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Ini serbuan ketiga terhadap premis sama apabila tidak serik melanggar undang-undang menyediakan GRO warga asing kepada pelanggan-pelanggannya,” katanya ketika ditemui selepas Op Warta Khas di sini.

Anuar berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua GRO terbabit tidak mempunyai permit bekerja.

Katanya, dokumen pengenalan diri mereka akan dirujuk kepada pihak Imigresen bagi memastikan pasport dikemukakan bukan palsu.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang penjaga berusia 20-an untuk diambil tindakan walaupun premis berkenaan mempunyai lesen untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya mengkaji semula lesen dikeluarkan kepada pengusaha-pengusaha premis hiburan yang melanggar syarat.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan 39(b) akta sama.

Anuar berkata, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan GRO atau pelacuran warga asing kepada polis.

Menurutnya, operasi akan dijalankan secara berterusan.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger