Home » » Hari Ini Dalam Sejarah- 16/12

Hari Ini Dalam Sejarah- 16/12

Written By aku on Monday, 16 December 2013 | 11:55 am


PENUBUHAN BATTALION PERTAMA REGIMEN PERSEKUTUAN-Tarikh Peristiwa pada 16-12-1953

Pada hari ini dalam tahun 1953, Battalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini. General Sir Gerald Templer merupakan 'bapa' kepada regimen ini tidak dapat turut bersama dan telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell. Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting dan mempengaruhi keadaan negara ini. Battalion Pertama Regimen Persekutuan tersebut merupakan pasukan tentera yang dianggotai oleh semua kaum. Anggota-anggotanya terdiri daripada 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama adalah seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Pegawai Pemerintah Pertama Battalion tersebut adalah Leftenan Kolonel T. H. Trevor. Sesungguhnya, penubuhan Battalion Regimen Persekutuan ini merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini yang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.
eboss

16-12-2009, 03:41 PM
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA MENJADI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI PERTAMA MENJADI AHLI UNIVERSITI APPLE COMPUTER (AUC) DENGAN TERMETERAI PERJANJIAN-Tarikh Peristiwa pada 16-12-1986

Pada hari ini 16.12.1986, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah muncul sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi di negara ini yang pertama menjadi ahli Konsortium Universiti Apple Komputer (AUC) melalui satu perjanjian yang ditandatangani. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di antara Naib Canselor UTM, Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sapura Holding, Datuk Shamsuddin Abdul Kadir yang mewakili anak syarikatnya, Uniphone Sdn. Bhd, yang merupakan pemegang francais pengedaran komputer Apple di Malaysia. Turut sama menandatangani perjanjian di upacara tersebut ialah Pengarah Urusan Apple Computer International Ltd., En. Mike Rashkin. Berucap semasa upacara tersebut, Encik Rashkin berkata Konsortium Universiti Apple Komputer telah ditubuhkan pada tahun 1984 dengan dua matlamat utama iaitu untuk membolehkan universiti yang menjadi ahli membeli komputer Apple dengan harga yang berpatutan dan menyediakan bidang profesional untuk ahli bertukar pengalaman dan perisian yang telah dibentuk. Sesungguhnya dengan termeterai perjanjian tersebut, diharap akan menjadi ikutan kepada institusi-institusi pengajian tinggi yang lain, demi untuk meningkatkan kemajuan dan perkembangan komputer di Institusi masing-masing.
eboss


16-12-2009, 03:42 PM
PERJANJIAN AWAL PROJEK UREA MALAYSIA-INDONESIA DIMETERAI-Tarikh Peristiwa pada 16-12-1978

Kerjasama di antara negara-negara ASEAN terutama di bidang-bidang ekonomi sosial dan kebudayaan sentiasa dijaga dan dihormati. Negara-negara anggota sentiasa berusaha memanfaatkan sumber-sumber semulajadi yang ada di negara masing-masing. Pada hari ini satu perjanjian di antara Malaysia-Indonesia, mengenai baja urea telah dimeterikan. Ini adalah perjanjian awal mengenainya setelah kajian kemungkinan masing-masing telah selesai disiapkan. Perjanjian ini dimeterai semasa mesyuarat ke 7 Menteri-menteri Ekonomi Asean yang berlangsung di Kuala Lumpur. Perwakilan Malaysia di mesysuarat ini diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Y.B. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Perusahaan Utama, Encik Paul Leong dan Menteri Pengangkutan, Tan Sri V. Manickavasagam. Menurut Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed projek baja urea ini akhirnya telah dapat dilaksanakan setelah terpaksa menghadapi beberapa halangan. Dalam perjanjian ini para menteri telah bersetuju bahawa saham akuiti bagi kedua-dua projek baja urea mestilah 60 peratus dipegang oleh negara tuan rumah dan 13 peratus oleh negara-negara anggota ASEAN yang lain melainkan Singapura memegang hanya 1 peratus. Projek baja urea ini adalah salah satu daripada 5 projek ASEAN yang telah dipersetujui di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan di Bali pada tahun 1975. Projek-projek lain termasuklah projek Enjin Diesel bagi Singapura, Projek Abu Soda bagi Thailand dan Projek Sodium Phosphate bagi Filipina. Projek-projek ini menghadapi beberapa masalah teknikal di mana telah terlambat daripada tempoh yang dirancangkan. Hanya projek baja Urea Malaysia- Indonesia sahaja memperlihatkan perkembangan positif.

Perdana Menteri Dato' Hussin Onn semasa berucap di perasmian mesyuarat ini meminta negara-negara ASEAN berusaha menjayakan projek-projek ASEAN dengan menyelesaikan rintangan dan masalah yang dihadapi. Ini kerana Ketua-ketua Kerajaan ASEAN mahukan projek-projek ini menjadi kenyataan demi kepentingan ekonomi, perpaduan dan kerjasama dalam ASEAN. Beberapa perjanjian lain turut sama ditandatangani sepanjang mesyuarat ini termasuklah yang berkaitan dengan projek-projek ASEAN ataupun dengan negara-negara lain seperti Australia dan Jepun. Negara-negara ASEAN sentiasa berusaha ke arah mewujudkan suasana ekonomi, perpaduan dan politik yang stabil di rantau ini. Setiap pendapat mengenai satu-satu pendirian akan dibincang dan diselesaikan bersama dengan semangat setiakawan yang kukuh.
eboss


16-12-2009, 03:43 PM
BELANJAWAN MALAYSIA YANG PERTAMA DIBENTANGKAN-Tarikh Peristiwa pada 16-12-1963

Pada hari ini 16.12.1963, Belanjawan Malaysia yang pertama telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Encik Tan Siew Sin. Peruntukan bagi Persekutuan Tanah Melayu sahaja adalah sebanyak $1,254 juta dan sebanyak $71 juta dari jumlah ini adalah untuk perbelanjaan kerajaan pusat. Hasil yang akan diperolehi oleh Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1964 adalah dianggarkan sebanyak $1,118 juta. Peruntukan bagi negeri Sarawak sebanyak $53 juta, negeri Sabah $42 juta dan anggaran belanjawan perkhidmatan bekalan bagi negeri Singapura adalah sebanyak $78 juta. Sebanyak $256.5 juta telah diperuntukan bagi Kementerian Pertahanan. Pertambahan adalah sebanyak $26.5 juta atau 69 peratus lebih dari jumlah peruntukan bagi tahun 1963. Encik Tan Siew Sin menerangkan penambahan ini perlu bagi persediaan mempertahankan negara dari ancaman luar. Sebanyak $28,959,209 telah diperuntukan bagi Kementerian Pembanguan Luar Bandar. Dengan peruntukan ini penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemajuan dalam rancangan pembangunan negara yang sedang pesat dilancarkan.

Manakala peruntukan lain ialah:-

Kementerian Kesihatan $98,022,372.

Kementerian Pertanian $15,364,986.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri $103,670,525.

Peruntukan Khas Polis Diraja Malaysia sebanyak $101.6 juta.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger