Home » » Jaring mayat

Jaring mayat

Written By aku on Sunday, 22 December 2013 | 8:30 am



Sungai Siput: “Saya terkejut sebaik melihat mayat manusia sudah kembung tersangkut pada jaring di dalam sangkar ikan,” kata Abdul Rahman Abu Bakar, 58, yang menemui mayat remaja, Muhammad Ismail Mazalan, 13, yang hilang selepas lemas sejak petang Khamis lalu.

Dia yang bertugas di Lembaga Koperasi Kospeta Malaysia Berhad menemui mayat remaja itu ketika turun ke sangkar ikan di petak A berhampiran tebing Sungai Perak, Kota Lama Kiridi sini, untuk melakukan pemeriksaan rutin sekitar jam 8.30 pagi semalam.


“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat satu objek hitam terlekat pada jaring di dalam sangkar ikan itu. Saya kemudian memerhatikannya secara lebih dekat sebelum mendapati ia mayat manusia.

“Mayat itu berseluar pendek dan tidak berbaju. Saya yakin mayat itu remaja lelaki yang dicari anggota penyelamat sejak petang Khamis lalu di sepanjang Sungai Perak,” katanya.


Menurutnya, pasukan polis dan bomba kebetulan sedang melakukan tugas mencari mangsa di kawasan berhampiran sangkar ikan itu. “Susulan itu saya segera mengejar mereka dan menjerit memanggil anggota penyelamat bagi memaklumkan penemuan mayat itu,” katanya.


Menurutnya, mayat remaja itu yang terapung di dalam sangkar ikan kemudian dikeluarkan anggota penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk tindakan lanjut.

“Penemuan mayat remaja itu amat mengejutkan dan saya bagai diberi ‘tanda’ awal. Malah saya tidak lena tidur sejak malam kelmarin tanpa sebab. Hati saya kerap teringatkan sangkar ikan seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput (Utara), Deputi Superintendan Ernest John yang dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi dia terjatuh pada jam 1.30 tengah hari, Khamis lalu.



Menurutnya, hujan lebat malam kelmarin di hulu Sungai Perak dipercayai menghanyutkan mayat mangsa ke sangkar ikan berkenaan. “Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian,” katanya.


Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa yang sedang memancing ikan bersama empat rakan lain berhampiran Jambatan Victoria, Karai di sini, dikatakan lemas dan tenggelam ketika cuba mengalihkan kayu besar yang terapung.


Mangsa yang cuba diselamatkan rakan-rakan dikatakan terlepas pautan tangan sebelum dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.
---Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger