Home » » Gajah liar masuk kampung

Gajah liar masuk kampung

Written By aku on Monday, 7 March 2016 | 10:58 am

Ramli menunjukkan pokok kelapa sawit milik Mohamad Samad yang dimusnahkan gajah, minggu lalu.

HULU BESUT - Kehadiran gajah liar yang berkeliaran serta memusnahkan tanaman kelapa sawit dan pisang di kawasan Sungai Lah, dekat Lata Tembakah, sejak seminggu lalu, meresahkan penduduk setempat.

Tambah membimbangkan apabila gajah tersebut turut menghampiri rumah penduduk pada waktu malam.

Mangsa, Aminah Mat Ghani, 50, berkata, dia melalui kejadian menakutkan ketika gajah liar mengetuk pintu dapur rumahnya dengan belalai pada jam 12.30 tengah malam, Selasa minggu lalu.

“Bila intai melalui lubang, saya terkejut melihat kelibat gajah sangat hampir dengan dapur rumah. Gajah itu minum air di dalam tong di tepi dapur,” katanya yang tinggal berhampiran Hutan Simpan Pelagat.

Menurut Aminah yang merupakan ibu tunggal, bimbang rumahnya dirempuh gajah, dia mengarahkan anaknya menghubungi beberapa kenalan, termasuk bapanya yang tinggal di Kampung Bukit Payong bagi memaklumkan kejadian.

“Gajah tersebut turut menumbangkan dua pokok kelapa di belakang rumah dan pagar. Gajah tersebut beredar ketika hampir subuh,” katanya yang melihat tiga gajah di kawasan rumahnya.

Aminah berkata, dalam tempoh 30 tahun menetap di situ, kejadian minggu lalu paling menakutkan kerana gajah tersebut bukan sahaja datang dekat dengan rumah, tetapi turut memusnahkan tanaman di halaman.

"Saya harap tindakan segera dapat diambil kerana sekarang saya takut untuk keluar menoreh getah," katanya.

Banyak tanaman musnah

Mohammad Samad, 65, pula melalui detik cemas apabila terpaksa melarikan diri bersama isteri pada tengah malam apabila seekor gajah menghampiri dan menghulurkan belalai ke dalam rumah melalui lubang dinding dekat bahagian dapur dalam kejadian jam 2 pagi, awal minggu lalu.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Hassan, ketika itu sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi gajah di tepi rumah.

“Bimbang diapa-apakan gajah tersebut, saya mengejutkan isteri sebelum berlari ke rumah jiran yang terletak kira-kira 300 meter dari situ.

“Saya dan isteri bersyukur kerana tidak diapa-apakan, namun sedih sebab sebahagian besar tanaman kelapa sawit, jagung dan pisang musnah. Kalau tidak salah, daripada ratusan pokok sawit yang ditanam dua tahun lalu, kini tinggal 30 pokok sahaja.

Selain mereka berdua, lapan pekebun lain turut mengalami kerugian apabila gajah tersebut merosakkan tanaman terutama kelapa sawit, kelapa dan pisang menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Mereka juga tidak dapat menoreh sejak minggu lalu kerana bimbangkan keselamatan masing-masing memandangkan ada kebun getah yang terletak berhampiran hutan simpan.

Arah Perhilitan ambil tindakan

Susulan kejadian berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri merangkap Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad mengadakan pertemuan dengan penduduk dan pemilik kebun untuk mendengar keluhan mereka yang terlibat dengan ancaman gajah liar.

Nawi berkata, kerajaan negeri meminta Perhilitan mengambil tindakan segera, termasuk mengadakan operasi menangkap dan memindahkan gajah tersebut sekiranya masih berada di kawasan itu.

“Sekiranya berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan penduduk, tetapi turut mengancam keselamatan mereka. Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan untuk membiayai kos menangkap dan memindahkan gajah liar” katanya.

Lapor segera jika ada gangguan

Susulan aduan penduduk, Perhilitan melakukan operasi bagi mengesan gajah liar di kawasan itu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya menerima aduan mengenai seekor gajah jantan yang merosakkan tanaman penduduk seperti pokok pisang dan kelapa sawit, minggu lalu.

Katanya, seramai lima anggota ditempatkan di kawasan itu untuk menangkap gajah tersebut, namun usaha mengesan gagal.

“Kita percaya gajah tersebut sesat dan terpisah daripada kumpulan. Ini operasi penangkapan kedua selepas Kemaman pada awal tahun ini, membabitkan 30 gajah”, katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Hasdi, sejak beberapa hari kebelakangan ini, pihaknya tidak menerima laporan mengenai kehadiran gajah liar di kawasan itu.

Katanya, jika gajah jantan itu ditangkap, ia akan dipindah dan dilepaskan di kawasan sesuai secepat mungkin.

“Laporan terbaru menunjukkan terdapat gangguan gajah di Pelong, Setiu, awal minggu ini. Jadi kita minta penduduk melaporkan segera jika ada gangguan gajah liar di tempat mereka," katanya.



Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger