Home » » Kepala putus langgar treler

Kepala putus langgar treler

Written By aku on Saturday, 14 December 2013 | 4:17 pm

Rembau: Seorang pekerja kontrak maut apabila kepalanya terputus selepas kereta dipandu dipercayai bertembung sebuah treler membawa muatan minuman keras di Kilometer 39.1, Jalan Seremban-Tampin dekat Kota, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa, R Sivakumar, 39, memandu kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Woon, Tampin ke Seremban, maut di tempat kejadian apabila kepala dan kaki kirinya parah akibat tersepit di bahagian tempat pemandu.

Pemandu lori Hafiz Mohd Sahap, 23, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Senawang menuju ke Tampin sebelum dikejutkan dengan sebuah kereta yang masuk ke laluannya menyebabkan dia gagal mengelak dan merempuh kenderaan yang datang dari arah bertentangan itu.

“Walaupun cuba membrek, saya gagal mengelak kerana jarak terlalu hampir.

Akibat rempuhan itu kereta dipandu mangsa terperosok ke bawah lori sebelum kenderaan saya terbabas ke kanan jalan berhampiran ladang kelapa sawit,” katanya ketika di temui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Hafiz berkata, sejurus kejadian dia keluar menyelamatkan diri apabila tangki minyak treler itu turut tertanggal dari badan dan berlaku tumpahan minyak menyebabkan dia khuatir jika lori yang dipandu meletup.

“Saya tidak cedera cuma terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka perjalanan menghantar barang kali ini melalui situasi mencemaskan dan berdepan detik ngeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan awal mendapati pemandu kereta dari arah Tampin ke Seremban dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung sebuah lori treler yang datang dari arah depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd Yusof Samad bersama enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan dan mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

-Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger