Kes cerai tujuh talak disebut semula 15 Jan.
Written By aku on Thursday, 5 December 2013 | 4:47 pm
SHAH ALAM 4 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 15 Januari tahun depan sebutan semula kes seorang wanita yang memohon untuk memfarakkan (membubarkan perkahwinan) suaminya dengan isteri kedua yang didakwanya telah diceraikan oleh lelaki itu dengan tujuh talak.
Hakim Syarie, Mohamed Adib Husain menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan responden kes itu, Khairul Anim Modim, 49, dan Kamalita Kamaruddin, 46, memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan wanita berkenaan, Harlina Mohamed.
Pada prosiding hari ini, Kamalita hadir dengan ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain. Bagaimanapun, Khairul Anim tidak hadir kerana mempunyai satu kes di Mahkamah Petaling Jaya.
Harlina, 47, yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta memfailkan permohonan farak itu selepas meragui status perkahwinan antara suaminya, Khairul Anim dan Kamalita yang didakwanya tidak sah mengikut hukum syarak.
Berdasarkan afidavit permohonannya, wanita yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais itu turut mendakwa, perkahwinan pasangan itu telah berlaku secara pemalsuan status bujang suaminya.
Harlina turut mendakwa perkahwinan itu terbatal kerana telah berlaku talak ketiga secara dua kali.
Menurut afidavit, Harlina telah membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada Disember tahun lalu, mengenai status bujang suaminya yang telah mendapat kebenaran berkahwin kali ketiga dengan Kamalita.
Khairul Anim kemudian hadir di pejabat tersebut pada Januari lalu dan mengakui telah bernikah dengan Kamalita pada Oktober 2009 di Songkhla, Thailand.
Bekas pengurus itu juga mengaku bercerai talak satu, kali pertama dengan wanita yang bertugas sebagai penolong pengurus itu, Disember 2009 di pejabat peguam Zulkifli Yong Azmi & Co., dan perceraian itu telah didaftarkan di Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla pada Februari 2010.
Khairul Anim turut mengaku telah melafazkan talak ketiga (kali pertama) terhadap Kamalita pada Oktober 2011 dan sekali lagi melafazkan talak ketiga (kali kedua) terhadap wanita itu pada Julai 2012, kedua-duanya di pejabat peguam yang sama.
Lelaki itu juga mengaku telah bernikah kali ketiga dengan Kamalita di Puchong dekat sini pada Oktober tahun lalu, dengan mendapat kebenaran berkahwin dari Pejabat Agama Islam Daerah Petaling melalui pemalsuan status bujang.
Harlina yang dikurniakan tiga anak berusia antara 13 tahun dan 22 tahun melalui perkahwinan dengan Khairul Anim mendakwa, suaminya gagal memberi nafkah kepada dia dan anak-anaknya setelah pernikahan tersebut.
Malah pada April lalu, dakwanya, dia telah membuat laporan polis setelah suaminya melanggarnya dengan kereta sehingga menyebabkannya cedera.
--Umalaysia
Labels:
Jenayah