Lima buah motosikal terbakar
Written By aku on Monday, 9 December 2013 | 12:54 pm
SHAH ALAM - Penghuni Blok 48, Flat PKNS di Jalan Plumbum gempar apabila lima buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir di situ terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mengakibatkan sebuah motosikal jenis skuter musnah terbakar, manakala sebuah motosikal Yamaha LC, Honda EX5, Honda Air Blade dan Honda Icon rosak.
Menurut salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi bising di bawah blok.
“Saya bingkas bangun, apabila turun dari rumah didapati sebuah motosikal yang diletakkan di parkir itu telah hangus terbakar, mujurlah motosikal milik saya yang berada di kawasan parkir yang sama tidak terjejas,” katanya.
Jelasnya, kejadian kebakaran itu pertama kali berlaku di flat berkenaan dan tidak pasti sama ada kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.20 pagi.
“Seramai 12 anggota Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba ke lokasi dan api dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian," katanya.
Beliau berkata, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
---Sinar Harian
Labels:
Semasa