Home » » Mandela dikebumi hari ini

Mandela dikebumi hari ini

Written By aku on Monday 16 December 2013 | 12:43 pm


QUNU,Afrika Selatan - Nyanyian, ucapan dan bedilan artileri memecah kesunyian di kampung kelahiran Nelson Mandela di sini semasa majlis pengebumiannya semalam

Beribu-ribu tetamu dengan sebahagian mereka menyanyi dan menari berhimpun di sebuah khemah besar di pekarangan kediaman keluarga ikon anti-Apartheid tersebut.

Mandela meninggal dunia pada usia 95 tahun setelah sekian lama jatuh sakit.

Kerandanya yang dibalut bendera Afrika Selatan dibawa ke khemah tersebut menggunakan sebuah kereta meriam sebelum diletak di atas karpet kulit lembu.

"Sebatang pokok besar telah tumbang (Mandela), beliau pulang ke pangkuan nenek moyangnya," kata seorang ketua puak, Ngangomhlaba Matanzima yang mewakili keluarga Mandela.

Cucunya, Nandi Mandela pula berkata, Mandela pernah berkaki ayam untuk ke sekolah di sini semasa kanak-kanak sebelum beliau akhirnya menjadi seorang presiden dan tokoh global.

"Kisah ini sebagai teladan bahawa kita boleh mencapai apa sahaja yang kita impikan dalam hidup," kata Nandi.

Balu Mandela, Grace Machel dan isteri keduanya, Winnie Madikizela-Mandela memakai pakaian hitam dan duduk mengapit Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.

Antara hadirin termasuk veteran sayap tentera parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Duta Amerika Syarikat, Patrick Gaspard dan diplomat asing.

ANC merupakan pergerakan pembebasan yang menjadi kuasa politik dominan selepas pemerintahan rejim kulit putih Apartheid berakhir.

Turut berada di majlis pengebumian tersebut ialah Putera Charles, Putera Albert II dari Monaco, personaliti televisyen AS, Oprah Winfrey, bilionair Richard Branson dan bekas perdana menteri Zimbabwe, Morgan Tsvangirai.

Selesai majlis tersebut, segelintir tetamu akan menghadiri upacara mengebumikan mayat Mandela di tapak perkuburan keluarga mendiang di sini, dalam wilayah Cape Timur.

Sebelum keranda berisi mayat Mandela diturun ke dalam liang lahat, tembakan meriam 21 das dilepaskan dengan beberapa pesawat melakukan penerbangan lintas hormat sebagai penutup kepada majlis pengebumiannya.

Sebelum ini, acara berkabung selama 10 hari diadakan termasuk majlis memorial besar-besaran di sebuah stadium di Johannesburg dan upacara ziarah selama tiga hari di ibu negara Afrika Selatan, Pretoria.

Mandela dipenjara selama 27 tahun kerana menentang rejim Apartheid sebelum muncul untuk memimpin peralihan pemerintahan negara kepada demokrasi.

Ketika itu, ramai penduduk Afrika Selatan bimbang negara mereka kembali berdarah akibat konflik perkauman yang serius.

Mandela menjadi Presiden dalam pilihan raya pertama yang disertai oleh semua kaum pada tahun 1994. - AP
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger