Mayat lelaki disangka patung
Written By aku on Thursday, 19 December 2013 | 11:14 am
KUALA LIPIS - Dua kaki pancing yang berhasrat memancing di Sungai Yong, Tanjung Buluh di sini, terbantut selepas menemui satu jasad terapung di permukaan sungai terbabit, tengah hari semalam.
Difahamkan, mereka pada mulanya menyangka mayat terbabit adalah sebuah patung namun setelah diperhatikan dengan lebih jelas, nyata sangkaan itu meleset apabila mendapati ia mayat lelaki yang telah membengkak dan mereput.
Sejurus itu, dua kaki pancing berkenaan bertindak memanggil orang kampung untuk menarik mayat ke tebing sungai.
Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mayat terbabit disahkan seorang pemuda dikenali sebagai Irsyadul Firdaus Rosli, 25, dipercayai meninggal dunia lebih seminggu lalu.
Menurutnya, polis segera ke tempat kejadian bagi mengenal pasti identiti mayat selepas menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung.
“Mangsa yang tinggal bersama keluarga di Pekan Padang Tengku, dekat sini dipercayai keluar rumah kira-kira 10 hari lalu dan tidak pulang ke rumah.
“Irsyadul Firdaus yang mengalami masalah mental dipercayai kerap tidak pulang ke rumah beberapa hari, justeru keluarga mangsa menganggap ia perkara biasa dan tidak mengesyaki perkara buruk berlaku.
“Pihak kami juga tidak pernah menerima laporan kehilangan daripada keluarga mangsa,” katanya.
Abdul Razak berkata, mayat dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Tengku.
Menurutnya, punca kematian tidak dapat dikenal pasti berikutan hampir keseluruhan organ dan tubuh badan mangsa sudah reput.
Turut berada menziarahi jenazah di Hospital Lipis, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
--sinar
Labels:
Semasa