Mayat pengendali kren ditemui terapung di laut
Written By aku on Tuesday, 17 December 2013 | 6:04 pm
KUCHING: Mayat seorang pengendali kren atas kapal yang disyaki terjatuh ke laut beberapa hari lepas, ditemui terapung pada kedudukan lebih kurang empat batu nautika dari Teluk Bandung di Santubong, dekat sini.
Mayat mangsa ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar jam 10.30 pagi semalam dan pengecaman telah dibuat oleh kapten kapal, Chuo Kong Hwat.
Paulus Ajang, 45, yang dipercayai berasal dari Tutoh, Baram disyaki terjatuh ke laut dalam keadaan cuaca buruk Khamis lepas dan kehilangannya hanya disedari oleh kapten kapal sekitar jam 8.30 malam pada hari sama.
Susulan menerima laporan polis daripada Chuo, pihak polis dan bomba menjalankan pemantauan di kawasan persekitaran pantai berhampiran lokasi kejadian, memandangkan keadaan laut bergelora dan tidak selamat.
APMM yang turut dimaklumkan mengenai insiden itu kemudiannya melancarkan operasi mencari dan menyelamat sekitar jam 5 petang kelmarin menggunakan sebuah bot dengan kekuatan lima anggota.
Pengarah Operasi Daerah Kuching Komandan Maritim Sharef Steve Macqueen Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui lima anggota tidak jauh dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
“Mayat mangsa ditemui empat batu nautika dari Kuala Santubong oleh Bot Penyelamat 8 APMM Daerah Kuching pada jam 10.30 pagi tadi (semalam), iaitu dalam jangka masa 24 jam operasi dilancarkan.
“Mayat akan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di jeti APMM di Muara Tebas, dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyeru golongan nelayan atau pelaut atau sesiapa yang turun ke laut dalam keadaan musim tengkujuh ini agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan memakai jaket keselamatan.
“Seperti mana yang anda sedia maklum, sekarang ini adalah musim tengkujuh dan perkara tidak dijangka boleh berlaku dan untuk itu langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan,” katanya.
Sambil memberitahu APMM akan mengambil tindakan proaktif dan memperkasakan rondaan, Sharef turut menyeru orang ramai yang berhadapan dengan situasi serupa agar melaporkan terus kepada pihaknya.
--Hmetro “Didapati apabila seseorang hilang, mereka ambil masa lama untuk laporkan.
“Lepas 24 jam baharu laporkan dan maklumat itu lambat sampai ke pihak maritim, mungkin masyarakat belum sedar kewujudan maritim.
“Kalau maklumat sampai awal sama ada menerusi polis atau terus ke maritim, kami boleh lancarkan operasi mencari dan menyelamat secepat mungkin dan peluang mangsa untuk selamat agak cerah,” katanya.
Sekiranya berlaku kecemasan di laut, orang ramai diminta menghubungi talian Perkhidmatan Panggilan Kecemasan 999 atau Pusat Operasi 082-432544 supaya APMM dapat memberi bantuan kecemasan
---Thebornoepost
Labels:
Semasa