Pengarah hotel dituduh rogol amah
Written By aku on Tuesday 17 December 2013 | 7:28 am
Ipoh: Seorang pengarah sebuah hotel di Sitiawan, dekat sini, didakwa di Mahkamah Sesyen, Ipoh, semalam, atas tuduhan merogol seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumahnya, empat bulan lalu.
Tertuduh, Ting King Siang, 30, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 21 tahun di sebuah rumah bernombor 205, Taman Dinding, Air Tawar, Manjung, jam 1 pagi, pada 27 Ogos lalu.
(Gambar Hiasan)
King Siang, dituduh mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh yang diwakili peguam Mahinderjit Singh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Mahkamah kemudian menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 6 Februari tahun depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nadia Shariff memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah menerima laporan perubatan mangsa berhubung kes terbabit, namun pihaknya masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
--Hmetro
Labels:
Jenayah