Polis Kelantan tahan suspek paling dikehendaki
Written By aku on Thursday, 26 December 2013 | 3:39 pm
KOTA BHARU -Selepas lebih setahun memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes menyimbah asid, penculikan dan ugut, polis Kelantan akhirnya berjaya menangkap suspek di Ipoh, Perak pada Khamis lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek berusia 30 tahun itu diberkas bersama dua isterinya di sebuah rumah di Chemor, Ipoh.
"Suspek kemudiannya dibawa pulang ke Kelantan dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
"Suspek terlibat dengan beberapa kesalahan jenayah antaranya simbah asid, penculikan, ugutan bunuh dan mencederakan mangsa," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Pada Februari tahun lepas, seorang penjaga bot yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kes perselisihan faham berkaitan tong ikan, ditetak di badan dan disimbah dengan asid di Kampung Hulu Beta, Nilam Puri di sini.
Akibat kejadian itu, Mohd Khaidzir Hanafi, 31, mengalami kecederaan teruk.
Sementara itu dalam kes berasingan, Jalaluddin berkata polis berjaya menahan seorang pekerja sebuah kedai tayar di Machang yang disyaki terlibat dengan kematian seorang peraih emas di Paloh Rawa, Machang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa Tuan Faridah Tuan Losen, 60, yang tidak pulang ke rumahnya sejak tiga hari lepas, ditemui sepasang suami isteri yang sedang mencari rumput untuk makanan kambing mereka di Kampung Chekok Budu, Machang.
Katanya suspek ditangkap pagi tadi dan akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan polis turut melancarkan gerakan memburu dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
Mengulas mengenai pencapaian kontinjen polis Kelantan pada tahun ini, Jalaluddin berkata seramai 14,056 penagih dadah telah ditahan dengan majoritinya adalah penagih pil kuda.
Katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Kelantan menahan 301 suspek berkaitan kes tipu dan pecah amanah melibatkan kerugian lebih RM77 juta.
Selain itu, katanya 77,967 waran tangkap dikeluarkan kepada pesalah trafik di bawah Ops Warta dengan 22,000 daripada kesnya telah disempurnakan.
"Kita memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada pesalah trafik untuk menjelaskan saman mereka sebelum tindakan mencari dari rumah ke rumah dilakukan," katanya.
Sementara itu Jalaluddin berkata kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini adalah selamat walaupun berlaku beberapa siri letupan bom di selatan Thailand.
"Kita sentiasa mengadakan kerjasama dengan polis Thailand bagi memastikan keselamatan di kawasan sempadan masing-masing," katanya. - Bernama
Labels:
Jenayah