Home » » Rogol, samun: Warga Bangladesh dipenjara 20 tahun

Rogol, samun: Warga Bangladesh dipenjara 20 tahun

Written By aku on Wednesday, 25 December 2013 | 7:33 am


PETALING JAYA - Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol dan menyamun seorang wanita, dua bulan lepas.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan Buttu, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Oktober lepas.

Bagi kesalahan merogol, Buttu dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala untuk pertuduhan menyamun, dia dihukum penjara sembilan tahun dan enam sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata beliau mengambil kira fakta bahawa ketika kejadian, mangsa hanya berada ditemani dua anak yang masih kecil.

"Selain itu, tertuduh juga menggunakan senjata iaitu parang ketika kejadian dan mengacukannya ke perut mangsa," katanya.

Buttu didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di rumah mangsa pada 5.10 pagi 19 April tahun lepas mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menyamun telefon bimbit milik mangsa bersenjatakan parang pada masa dan tempat sama.

Terdahulu, Buttu, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik bersama dua anaknya dikejutkan dengan kehadiran tertuduh di dalam rumahnya.

Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri dan mengambil telefon milik wanita itu sebelum merogolnya di ruang tamu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din.  - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger