Home » » Sindiket curi motosikal di kawasan masjid tumpas

Sindiket curi motosikal di kawasan masjid tumpas

Written By aku on Saturday 21 December 2013 | 7:18 am


TUMPAT 20 Dis. - Polis menumpaskan satu sindiket curi motosikal selepas menahan tujuh lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar kawasan Chabang Empat dan Wakaf Bharu di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, sindiket itu menyasarkan kawasan masjid sebagai tempat menjalankan kegiatan mereka dan memilih waktu solat Maghrib dan Subuh untuk mencuri.
Beliau berkata, antara masjid yang menjadi sasaran ialah di sekitar Chabang Empat, Kuala Jambu dan Wakaf Bharu.
Menurutnya, berikutan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi motosikal di kawasan berkenaan.
"Tujuh lelaki tersebut yang berusia antara 16 tahun hingga 31 tahun ditangkap pada Selasa dan kelmarin. Mereka kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.
Tambah Zaharudin, sindiket itu akan meleraikan komponen motosikal yang curi dan menjualnya kepada pihak yang berminat serta memilih motosikal jenis Honda Wave dan EX5 sebagai sasaran.
Katanya, mereka dikesan bergiat aktif pada November lalu dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah.
"Kesemua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai baru terlibat dengan kegiatan curi motosikal di daerah ini," ujarnya.
Berikutan penangkapan itu ujar Zaharudin, polis Tumpat turut merampas sebuah motosikal Honda Wave dipercayai menggunakan kompenan curi.
"Saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan penjual komponen motosikal yang tidak dikenali kerana dikhuatiri terbeli barang curi," nasihat beliau.
---Utusan
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger