Home » » Kapal Heng Hong 168 karam

Kapal Heng Hong 168 karam

Written By aku on Saturday 21 December 2013 | 7:07 am


JOHOR BAHRU 20 Dis. - Lima anak kapal Heng Hong 168 dikhuatiri hilang selepas kapal pengangkut pasir itu dilaporkan karam di perairan Singapura awal pagi ini.

Berikutan kejadian itu, Polis Pengawal Pantai Singapura telah meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat lima mangsa yang hilang bermula di perairan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini.

Terdapat 11 warga China di dalam kapal tersebut dan enam daripada mereka berjaya diselamatkan.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia Tanjung Sedili, Komander Mustafa Kamal Abas berkata, pihaknya dihubungi Polis Pengawal Pantai republik berkenaan pukul 7.55 pagi ini untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, enam anak kapal yang ditemui di kedudukan 2.1 batu nautika di barat Rumah Api Horsburgh, Singapura awal pagi ini, telah selamat dibawa ke negara jiran itu. Bagaimanapun lima yang lain masih hilang.

"Menurut maklumat daripada mangsa yang terselamat, kapal tersebut karam pada pukul 4 pagi ini selepas dilanda ribut dan ombak setinggi lima meter.

"Lima lagi mangsa yang hilang dipercayai terperangkap dalam kapal atau telah terjun ke laut ketika kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu, pihaknya telah menggerakkan bot dan kapalnya ke lokasi kejadian serta menggunakan pesawat Bombadier selain mendapatkan bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengesan dan menyelamat mangsa.


© Utusan Melayu (M) Bhd
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger