Suami restui kerjaya Farawahida
Written By aku on Monday, 16 December 2013 | 7:57 pm
TAIPING: Dengan sekali lafaz, penyanyi Farawahida Razali, 28, sah sebagai isteri kepada ahli perniagaan, Abdul Syukur Mohd Zain, 29, dalam majlis pernikahan di Sentosa Villa Resort, di sini, pagi tadi.
Pasangan itu dinikahkan naib kadi Air Kuning Pokok Assam, Ustaz Imanuddin Zakaria jam 10.30 pagi tadi.
Farawahida ketika ditemui berkata, dia mengenali Abdul Syukur sejak zaman persekolahan tetapi semakin rapat sejak 2006 selepas bertemu ketika terbabit dalam satu persembahan di Kuala Lumpur.
“Kami berdoa semoga perkahwinan ini kekal bahagia dan dikurniakan anak-anak yang baik.
"Apa yang penting suami tidak menghalang dan merestui kerjaya saya sebagai penyanyi,” kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Tanpamu' ini.
Farawahida berkata, walaupun sudah lama mengenali antara satu sama lain, mereka jarang bertemu dan hanya berhubung menerusi telefon saja.
Dalam pada itu, Abdul Syukur turut mengharapkan perkahwinan mereka sentiasa diberkati Allah SWT dan dapat terus memajukan perniagaan yang diusahakan dengan sokongan isteri tercinta.
Dalam majlis yang dihadiri keluarga kedua belah pihak dan lebih 100 tetamu itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,000 dan hantaran sebanyak RM30,000 serba satu.
Pasangan terbabit mengenakan pakaian sedondon berwarna putih dan majlis persandingan diadakan di Dewan Perbandaran Taiping, di sini, malam ini dan majlis persandingan di sebelah lelaki akan diadakan di Klang, Selangor, bulan depan.
--Hmetro
Labels:
Hiburan