Home » » Tangan, kaki terikat 12 jam

Tangan, kaki terikat 12 jam

Written By aku on Wednesday, 18 December 2013 | 10:35 am


TELUK INTAN - Sudahlah disamun, seorang wanita malang ditinggalkan dengan tangan serta kakinya terikat selama 12 jam di rumahnya di sini malam kelmarin.

Wanita berusia 35 tahun itu yang tidak sedarkan diri bagaimanapun diselamatkan abangnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pasar tidak menyedari rumahnya dimasuki penyamun bertopeng.

"Mangsa yang sedang mandi ketika itu diserang penjenayah terbabit hingga pengsan sebaik sahaja keluar dari bilik mandi.

“Penyamun terbabit terus menarik mangsa ke bilik tidur dan mengikat tangan serta kakinya menggunakan kain sari yang diambil dari almari mangsa," katanya semalam.

Mohd Zaki berkata, penjenayah itu menggeledah bilik tersebut dan mengambil semua barang kemas milik mangsa termasuk rantai tangan dan leher emas serta sejumlah wang tunai berjumlah lebih RM2,000.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri meninggalkan mangsa yang tidak sedarkan diri dengan tangan dan kakinya diikat.

Katanya, abang mangsa yang berasa risau selepas tidak dapat menghubungi adiknya pergi ke rumah mangsa pada kira-kira jam 12 tengah hari.

"Abang mangsa terkejut apabila mendapati adiknya itu terbaring di atas lantai dengan kaki serta tangan terikat," katanya.

Mohd Zaki berkata, lelaki itu terus mengejutkan adiknya dan menghubungi polis serta membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang ketika wanita itu berada dalam bilik mandi.

Katanya, siasatan juga mendapati pintu hadapan kediaman terbabit berkunci manakala suami mangsa bekerja di luar.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan suspek sedang diburu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger