SUBANG JAYA – Gara-gara terlalu takut apabila premis tempatnya bekerja diserbu, seorang tukang urut wanita warga Vietnam memperjudikan nyawa dengan terjun dari tingkat dua bangunan kedai di Bandar Puteri untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, tindakannya membawa malang apabila dia bukan sahaja patah tulang pinggang dan kaki malah berjaya diberkas anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang berkawal di tingkat bawah premis.
Dalam serbuan bermula jam 9.30 malam, wanita terbabit pada awalnya dikatakan meminta izin untuk ke tandas.
Dia kemudian dipercayai memanjat tingkap tandas sebelum mengambil keputusan terjun tanpa menyangka terdapat beberapa anggota penguat kuasa membuat kawalan di tingkat bawah.
Wanita yang meraung kesakitan akibat kecederaan dialami kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan susulan.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, dalam operasi bersepadu bersama pihak polis, dua premis diserbu masing-masing di Bandar Puteri.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati pengusaha premis menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada MPSJ.
Terdapat 19 pekerja asing bekerja sebagai tukang urut di kedua-dua premis.
Pihaknya menyita peralatan urut dan premis diarahkan tutup di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen.
Kedua-dua pengusaha premis berdepan denda maksimum RM 1,000.
Sejak Januari katanya, 344 kompaun dikeluarkan pihaknya kepada pengusaha premis urut atas pelbagai kesalahan.
---Sinar