SIAPA sangka anak Kulim berusia 37 tahun ini mampu membelah lautan Pasifik dan merentas benua Eropah dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM7,000 dan walau terpaksa berhadapan dengan kepayahan tetapi ia merupakan satu kenangan paling berharga bagi Syaril Azhar Ismail.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Ayin sebelum ini bekerja di Pulau Langkawi dan sepanjang berada di sana, dia mengenali ramai pelancong Eropah.
Pada 15 Mei 2013, Ayin nekad menjadikan impiannya untuk menjelajah benua Eropah menjadi kenyataan dengan duit yang ada serta basikal yang dibawanya dari Malaysia, Ayin terus ke Frankfurt, Jerman.
Sebaik tiba di sana, Ayin memulakan kayuhan sejauh 7,000 kilometer menuju ke Luxemburg sebelum meneruskan perjalanannya ke Paris.
Walaupun cuaca di sana sejuk, Ayin tetap meneruskan perjalanan dan dia akan berhenti untuk menginap di rumah teman dikenalinya sebelum meneruskan perjalanan.
"Sekiranya tiada rumah untuk saya singgah, saya akan bermalam di hutan dengan menggunakan khemah yang saya bawa. Selain itu, saya akan memasak makanan yang saya bawa. Sepanjang perjalanan saya merentas benua Eropah, tidak ada sebarang kenangan pahit malah terlalu banyak kenangan manis.
"Saya banyak dibantu oleh rakan yang tinggal di sana. Selain tempat penginapan, mereka turut membekalkan saya dengan makanan. Dengan cara ini, saya dapat menjimatkan perbelanjaan saya. Saya ke sana tidak ditaja oleh sesiapa. Semua perbelanjaan saya tanggung sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Penduduk bantu elak sesat
Ayin berkata, tujuan dia membuat kayuhan itu adalah kerana ingin melihat adat dan budaya masyarakat Eropah selain menikmati keindahan persekitarannya dan dari Paris, Ayin meneruskan kayuhannya ke Switzerland sebelum masuk ke Itali.
Menurutnya, penduduk di negara dilaluinya banyak membantu untuk mengelakkannya sesat dan setelah merentasi Itali, Ayin kemudiannya menuju Austria dan ke Belanda. Dari Belanda, Ayin terpaksa menaiki feri sebelum tiba di England dan sekali lagi meneruskan kayuhannya ke Wales.
"Pemandangan sepanjang perjalanan sangat menarik kerana dihiasi dengan bukit hijau selain bangunan lama.
"Bentuk pembinaan bangunan serta istana lama di Eropah sangat unik sepertimana digambarkan dalam televisyen," katanya.
Katanya, dari Wales, dia terpaksa naik bot untuk ke Ireland dan kemudiannya menggunakan kapal terbang untuk ke Sweden dan dari sana dia memulakan kayuhan semula ke Denmark sebelum tiba ke Frankfurt semula.
"Saya mengambil masa selama enam bulan bagi membolehkan saya membuat kayuhan di Eropah dan bersyukur semuanya selamat.
"Saya akan membuat kayuhan semula pada masa akan datang di negara dan benua lain. Semua ini dilakukan kerana mahukan kepuasan selain dapat melihat keindahan negara luar,” katanya.
--Sinar