Home » , » Empangan Paya Peda Mula Bekal Air Ke Kawasan Padi Di Besut Dan Setiu (VIDEO)

Empangan Paya Peda Mula Bekal Air Ke Kawasan Padi Di Besut Dan Setiu (VIDEO)

Written By aku on Wednesday, 19 October 2016 | 2:08 pm


Empangan Paya Peda, Hulu Besut kini mula membekalkan air ke beberapa kawasan sawah padi dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemajuan Terengganu Utara (KETARA) bagi membolehkan petani menanam padi tanpa menghadapi masalah bekalan air.

Pengarah IADA KETARA, Zulkifli Harun berkata empangan tersebut itu kini menyalurkan bekalan air ke beberapa kawasan yang menghadapi kekurangan air seperti Kampung Padang Bual, Kampung Awek, Kampung Oh, Gong Dasar, Masing, Batang Gergaji dan Gerong yang membabitkan seluas 1,209 hektar kawasan padi.

Katanya, empangan yang dibina dengan kos RM430 juta itu berkemampuan membekalkan 200 juta meter padu air untuk pengairan seluas 10,000 hektar sawah padi di Terengganu.

Katanya ia dijangka akan memberi faedah kepada 4,000 petani di Besut dan Setiu termasuk 3,600 petani di IADA KETARA bagi mengusahakan seluas 5,323 hektar tanaman padi untuk tanaman sepanjang setahun.

“Empangan Peda yang dibina khusus untuk pembekalan air ke sawah-sawah padi ini juga sebenarnya bertindak sebagai penebat banjir di musim tengkujuh pada penghujung tahun,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Zulkifli berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang memulihkan tali air sepanjang 260km di kawasan penanaman padi di Besut dan Setiu agar air dari Empangan Peda dapat disalurkan dengan baik ke sawah-sawah padi di situ.

Beliau berkata sebuah tali air baharu sepanjang 30km sedang dinaiktaraf dari Empangan Peda ke Gong Dasar di Jabi yang bersambungan dengan 20km tali air yang sedia ada, bagi membolehkan bekalan air dapat masuk ke kawasan-kawasan padi di Setiu. – Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger