Selangor catat rekod jumalah penerima BR1M Tertinggi
Written By aku on Wednesday, 19 October 2016 | 2:46 pm
Terdapat pelbagai program yang telah dan akan terus dijalankan kerajaan bagi meningkatkan kemahiran dan pendapatan rakyat, ujar Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, program-program tersebut dilaksanakan untuk semua rakyat termasuk juga para penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Antara program-program yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran rakyat adalah seperti program latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang merangkumi institut pendidikan seperti Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan pusat GIATMARA, program latihan kemahiran yang dijalankan oleh Institut Latihan Perindustrian dan juga Pusat Latihan Teknologi Tinggi di bawah kelolaan Jabatan Tenaga Manusia dan Kementerian Sumber Manusia, serta program latihan di bawah Kementerian Pendidikan seperti Kolej Komuniti," katanya.
Selain itu, kerajaan juga ujar Johari turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah bagi melibatkan diri dalam bidang keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan mereka.
"Kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan sumber kewangan atau pinjaman bagi melibatkan diri dalam industri kecil-kecilan dan keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan mereka. Terdapat banyak sumber untuk mendapatkan pembiayaan tersebut seperti AIM, TEKUN, MARA.
"Kerajaan akan terus menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan kemahiran serta pendedahan dalam bidang keusahawanan kepada rakyat bagi membantu mereka agar lebih berdaya saing dalam usaha mendapatkan pekerjaan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) berhubung perancangan kerajaan di dalam melaksanakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan dan pendapatan penerima BR1M pada sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Johari turut memberitahu sebanyak 8,362,666 permohonan BR1M telah diterima bagi tahun 2016 di mana 7,280,340 permohonan telah diluluskan manakala baki 1,082,326 pula permohonan yang tidak berjaya.
"Daripada jumlah yang berjaya, Selangor adalah penerima tertinggi iaitu sebanyak 1,017,403 penerima, Johor adalah kedua tertinggi iaitu sebanyak 889,636 penerima manakala Sarawak adalah penerima ketiga tertinggi iaitu sebanyak 735,817 penerima.
"Pemberian BR1M adalah bantuan jangka pendek bermatlamat untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah mengimbangi kenaikan kos sara hidup dalam membeli barang keperluan harian dan bukannya bertujuan untuk membasmi kemiskinan," katanya.
Labels:
Ekonomi