Home » » Program Bersih Tali Air Sepanjang 260km Di Besut

Program Bersih Tali Air Sepanjang 260km Di Besut

Written By aku on Wednesday, 19 October 2016 | 1:58 pm


Besut - Program membersihkan tali air sepanjang 260 kilometer membabitkan kawasan padi seluas 5,000 hektar di kawasan Besut dan Setiu akan bermula hujung bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd berkata ia akan dilaksanakan bersama petani dan juga badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program Gelombang Tani.

Katanya program sedemikian merupakan salah satu agenda di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Terengganu Utara (KETARA) Besut/Setiu dan bakal dijadikan perintis untuk diikuti 11 IADA di seluruh negara.

Tambahnya menerusi program tersebut semua pihak yang terlibat secara langsung dalam industri penanaman padi termasuk kontraktor akan bersama-sama berganding bahu membersih secara sukarela.

“Usaha ini untuk mengembalikan semangat rasa tanggungjawab dan gotong-royong di kalangan petani sebagaimana zaman dahulu,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke sawah padi di sini.

Menurutnya, setiap tahun sejumlah RM2.2 bilion disalurkan oleh kerajaan bagi menampung kos subsidi selain pemberian benih, baja, insentif dan pembinaan infrastruktur di seluruh kawasan penanaman padi di seluruh negara.

Katanya, dari jumah tersebut pula kira-kira RM7 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja membersih tali air untuk sawah yang kebanyakannya menghadapi masalah semak samun, dipenuhi sisa buangan dan membaiki peralatan yang rosak. – BERNAMA
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger