Anak derhaka maki, ugut tikam ibu
Written By aku on Wednesday, 29 January 2014 | 10:00 am
KUALA TERENGGANU - Sudahlah mengambil telefon bimbit milik ibunya tanpa pengetahuan, seorang anak tanpa perikemanusiaan memaki hamun ibu malang itu selepas mangsa bertanyakan perihal telefon berkenaan.
Lebih melampau, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan, Chendering, di sini, Ahad lalu, anak derhaka berusia 32 tahun itu bertindak gila apabila tergamak mengugut mahu menikam mangsa, 67.
Bukan itu sahaja, dia yang layak digelar si tanggang turut bertindak agresif apabila merosakkan barangan yang ada di dalam rumah mereka semata-mata ingin menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap warga emas itu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa yang berada di rumahnya mengajukan soalan kepada suspek berhubung kehilangan telefon bimbitnya dan dipercayai telah diambil oleh suspek sejak dua hari sebelum itu.
“Namun, mangsa tidak menyangka pertanyaannya itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang secara tiba-tiba mengamuk seperti orang kurang siuman sebelum bertindak merosakkan barang yang ada di dalam rumah mereka.
“Tidak cukup dengan itu, suspek yang kononnya hendak menakut-nakutkan warga emas itu telah mencapai sebilah parang sebelum mengarahkan ibunya diam dan mengugut akan menikamnya sekiranya berdegil,” katanya.
Sumber berkata, ibu malang itu yang bimbang diapa-apakan hanya mengikut arahan dengan mendiamkan diri bagi mengelak suspek bertindak lebih agresif.
“Ini sebab, suspek sebelum ini kerap mengamuk terutamanya apabila permintaannya untuk mendapatkan wang gagal dipenuhi mangsa,” katanya.
Susulan kejadian itu, mangsa yang sudah tidak tahan melayan karenah suspek serta dalam masa sama bimbang keselamatannya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Muhammad Firdaus Abdul Rahim membenarkan suspek direman sehingga Khamis ini untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
--sinar
Labels:
Jenayah