Dua tabung masjid kena kebas
Written By aku on Tuesday, 11 February 2014 | 8:24 am
SEGAMAT – Jemaah di Masjid Felda Medoi, di sini, terperanjat apabila mendapati dua buah tabung besi di situ lesap dipercayai dicuri.
Setiausaha masjid, Ponnande Bakhir, 65, berkata, hanya menyedari kehilangan tabung tersebut ketika hendak menunaikan solat Subuh di masjid berkenaan kira-kira jam 5.50 pagi, Jumaat lalu.
“Pada awalnya saya tidak perasan akan kehilangan tabung tersebut. Tetapi ketika hendak meletakkan dokumen masjid yang mahu diserahkan kepada imam, baru saya terperasan tabung yang dirantai pada tiang masjid sudah tiada.
“Saya kemudian bergegas memanggil jemaah lain yang sudah tiba dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut, kami mendapati tabung di ruang solat wanita juga telah dilarikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, suspek dipercayai memotong rantai yang mengikat tabung besi pada tiang masjid menggunakan alat pemotong besi sebelum melarikan kedua-dua tabung berkenaan melalui pintu utama masjid yang tidak berkunci.
Akibat kejadian tersebut, masjid berkenaan mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM600 kerana duit yang terdapat pada kedua-dua tabung yang dilarikan merupakan duit derma mingguan daripada jemaah yang hadir.
“Memang seminggu sekali kami (ahli jawatankuasa masjid) membuka tabung ini untuk dikira duit hasil derma. Pencuri mungkin masuk pada awal pagi Jumaat kerana pada malam sebelumnya (khamis), tabung tersebut ada semasa kami sedang membaca yasin dan tahlil.
“Beberapa tahun sebelum ini, peralatan komputer dan mesin pencetak di masjid ini juga pernah dicuri sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM4,000. Nasib sebuah tabung derma untuk anak yatim tidak dilarikan. Mungkin kerana berat dan besar,” katanya.
Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat oleh ahli jawatankuasa masjid tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Jumaat lalu bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
---Sinar
Labels:
Jenayah