Janda dibakar bekas kekasih akhirnya meninggal dunia
Written By aku on Monday, 3 February 2014 | 8:04 am
Masihkah anda ingat kejadian tragis di mana seorang ibu tunggal serta anak perempuannya berusia empat bulan yang melecur teruk apabila rumah yang didiami mereka dibakar dipercayai oleh bekas teman lelaki wanita itu sendiri di PPR Setapak Jaya, Wangsa Maju pada 21 Januari lalu?
Terkini, wanita malang itu, Saliza Saidin, 29, dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, jam 5 petang, semalam selepas berada dalam keadaan kritikal sejak 12 hari lalu.
Difahamkan insiden itu berlaku pada 1.30 pagi, 21 Januari lalu, selepas suspek, Mohd Afizi Abdul Rahman, 27, dan mangsa bergaduh sebelum Afizi mengurung Saliza dan kemudiannya menuang petrol di sekeliling bilik tidur Saliza.
Akibatnya, Saliza dan anaknya, Nur Iris Qalisya Mohd Shahril melecur 80 peratus badan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Manakala, ibu Saliza, Som Dollah, 62, turut melecur pada tangan dalam kejadian itu.
Mohd Afizi, yang merupakan seorang mekanik di sebuah kedai basikal telah ditahan pihak polis di Hutang Melintang, Perak pada jam 3 pagi, 22 Januari lalu, lapor Mynewshub.
Labels:
Jenayah