Mahu bunuh abang ipar selepas dengar bisikan
Written By aku on Wednesday, 12 February 2014 | 8:29 pm
BESUT - Seorang lelaki berusia 20 tahun mengamuk dan mahu membunuh abang iparnya selepas mendakwa mendengar bisikan suara halus agar dia berbuat demikian dalam kejadian di Rumah Murah Pelagat Tiga, Seberang Jertih, di sini.
Suspek yang dikatakan dalam pengaruh dadah jenis pil kuda mengamuk dengan sebilah pedang samurai mengancam untuk membunuh mangsa, kakaknya sendiri (isteri mangsa) dan anak pasangan itu di perumahan tersebut, kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu.
Sebelum kejadian, mangsa, 30, bersama isteri dan tiga anaknya didatangi suspek yang membawa sebilah pedang panjang dan terus memasuki rumah mereka.
Difahamkan, mangsa yang berada di dalam bilik air terdengar bunyi riuh rendah di dalam rumahnya dan apabila keluar mendapati suspek telah menikam pintu bilik air dengan pedang.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang penganggur mengamuk bagai dirasuk hantu menyatakan mahu membunuh mangsa sekeluarga.
Bagaimanapun dalam kejadian itu, mangsa dan keluarganya tidak mengalami kecederaan, kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Jertih.
Motif kejadian difahamkan kerana suspek yang mengambil dadah kononnya mendengar bisikan agar dia berbuat demikian terhadap abang iparnya yang bekerja sebagai mekanik di Jertih.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian dan menurutnya, suspek sudah pun ditahan kira-kira jam 5.45 petang, hari yang sama di sebuah rumah di Seberang Jertih.
Menurutnya, sebilah pedang panjang yang dipercayai digunakan ketika kejadian turut dirampas dan saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetmine.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
--sinar
Labels:
Jenayah