Kipas angin bagaikan `goreng pisang panas' di Alor Setar
Written By aku on Thursday, 13 February 2014 | 8:19 am
ALOR SETAR: Berikutan cuaca panas yang dialami di Kedah sejak dua minggu lalu, permintaan terhadap kipas angin semakin meningkat di kalangan penduduk di negeri ini.
Cuaca di kebanyakan kawasan di Kedah ketika ini boleh melebihi 35 darjah Celcius pada sebelah siang dan pada malam boleh mencapai 29 darjah Celcius.
Tinjauan di beberapa kedai barangan elektrik di sekitar bandar raya ini mendapati jualan kipas angin pelbagai jenama meningkat.
Walaupun ada pilihan iaitu memasang pendingin hawa tetapi kos yang jauh lebih tinggi berikutan harga pendingin hawa lebih mahal menyebabkan ramai yang memilih untuk menambah bilangan kipas angin di rumah mereka.
Bagi Mohd Hapizan Abdul Rahman, 32, berkata cuaca yang sangat panas menyebabkan dia membeli sebuah lagi kipas angin untuk kegunaan anggota keluarga menyejukkan badan.
Mohd Hapizan yang menetap di Alor Mengkudu berkata, sebelum ini dia hanya mempunyai tiga kipas angin dan hanya digunakan pada waktu tertentu sahaja
jika diperlukan.
"Saya perlu tambah satu lagi kipas angin sebab tak tahan panas dalam rumah.
Kalau dulu guna waktu siang sahaja tapi kali ini sepanjang hari termasuk waktu
malam," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Azizi Abdul Razak, 33, pula berkata dalam situasi cuaca panas sekarang
jenama tidak menjadi pilihannya untuk membeli kipas angin tetapi mementingkan
kualiti dan harga berpatutan.
Asalkan dapat menyejukkan keluarga dan ruang di dalam rumah memadai
berbanding membeli kipas yang harga lebih mahal, kata bapa dua anak itu.
Beberapa pekerja kedai elektrik yang ditemui mengakui kipas angin lebih
menjadi pilihan orang ramai berbanding pendingin hawa kerana faktor kos yang
lebih rendah.
Seorang pekerja kedai elektrik yang enggan namanya dinyatakan berkata
biasanya dia hanya menjual kira-kira 50 kipas angin sebulan tetapi dalam tempoh
sebulan ini dia sudah menjual lebih 100 kipas angin.
Seorang lagi pekerja kedai elektrik, Nor Azura Ahmad, 40, berkata kedainya
menjual sebanyak 200 kipas angin dalam tempoh sebulan ini. -Bernama
Labels:
Semasa