Mangsa rogol berdepan trauma seumur hidup
Written By aku on Wednesday, 5 February 2014 | 8:35 am
JOHOR BAHRU - Bukan saja ‘terseksa’ lebih sejam ketika dilarikan penagih, murid sekolah berusia 10 tahun yang dirogol dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri, minggu lalu boleh berdepan trauma seumur hidup.
Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata kejadian itu bukan sahaja memberi trauma kepada mangsa, tetapi menyumbang kepada kerosakan masa depan kanak-kanak berkenaan.
Katanya, selain soal kehidupan selepas dewasa, antara perkara yang bakal dihadapi mangsa adalah takut untuk bergaul dengan orang ramai selain mungkin pembelajarannya tergendala.
“Banyak aspek yang perlu kita lihat terutama soal kehidupan mangsa iaitu perkahwinannya, pergaulan dengan masyarakat serta pendidikan berikutan mangsa baru berusia 10 tahun.
“Pada pendapat saya, jika benar polis mempunyai bukti, pastikan suspek yang didakwa dikenakan hukuman berat dan setimpal agar ia menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi BH.
Sejam Penuh Sengsara
BH melaporkan seorang murid sekolah agama berusia 10 tahun, menempuh sengsara apabila dirogol dan dipaksa melakukan seks oral, sebelum kemaluan serta perutnya ditoreh, dalam tempoh sejam dilarikan penagih dadah di Bakri, Selasa minggu lalu.
Kejadian berlaku jam 3.30 petang, ketika mangsa berbasikal sendirian menuju sekolah agama yang terletak dua kilometer dari rumahnya, menerusi jalan pintas dalam sebuah kebun getah.
Dalam perjalanan, malang menimpa apabila mangsa dirempuh sebuah kereta, sebelum pemandunya bertindak menarik kanak-kanak terbabit ke dalam kenderaan itu.
Akhbar berkata, jika polis sudah mengemukakan semua bukti bagi mengukuhkan pertuduhan di mahkamah, beliau berharap hakim dapat menjatuhkan hukuman maksimum kepada suspek.
Sementara itu, pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah Hamzah, berkata kebiasaannya kanak-kanak berusia seawal 10 tahun tidak akan mengalami fobia atau trauma yang besar.
“Golongan ini masih muda dan keadaan trauma atau fobia yang dialami tidak besar cuma peranan ahli keluarga penting dan jangan ditakut-takutkan mengenai insiden yang pernah mangsa hadapi.
“Ahli keluarga memainkan peranan penting dan jangan anggap kanak-kanak terbabit adalah ‘mangsa’, sebaliknya bantu dengan semangat supaya emosinya dapat berkembang dengan baik dan pulih kembali,” katanya.
Robiah berkata, berdasarkan kes yang pernah beliau kendalikan, golongan seawal usia berkenaan tidak akan mengalami trauma kekal dan perjalanan emosinya mampu dipulihkan dengan sokongan padu masyarakat, lapor Berita Harian.
Labels:
Jenayah