Remaja berlanggar polis dipenjara
Written By aku on Thursday, 13 February 2014 | 8:48 am
BESUT - Remaja lelaki yang memandu kereta hingga menyebabkan seorang pegawai polis trafik putus kaki pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara lima hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.
Mohd Burhanuddin Mohd, 20, dijatuhkan hukuman itu bermula dari tarikh sabitan oleh Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat selepas dia mengaku bersalah.
Raja Norshuzianna Shakila turut mengenakan denda sebanyak RM6,000 terhadap tertuduh atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut, selain hilang kelayakan menggunakan lesen memandu selama dua tahun.
Tertuduh yang dibebaskan dengan ikat jamin sebelum ini membayar denda berkenaan.
Pada 17 Julai tahun lalu jam 4.45 petang, Mohd Burhanuddin dari Kampung Beris Lampu, Kuala Besut yang memandu kereta Proton Saga telah didapati memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dengan sebuah motosikal polis jenis Honda VFR 800 di Alor Jejawi dekat Alor Peroi, Kuala Besut.
Justeru, dia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, hilang kelayakan memegang atau mendapat lesen memandu selama tidak kurang dua tahun.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azlinawati Mohd Arshab manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Zaradin.
Dalam kejadian Julai tahun lalu, pegawai polis, Inspektor Farid Hasni Mamat, 34, dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka hilang kaki kanannya selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan kereta dipandu tertuduh.
Ketika kejadian, mangsa sedang membuat rondaan sempena PRK Dun Kuala Besut bersama seorang rakan setugas, Asisten Superintendan Zainal Abidin Othman dari IPK Pahang.
Labels:
Jenayah