Anwar Ibrahim harus bertaubat, kata kumpulan penyokong MB Khalid
Written By aku on Sunday 10 August 2014 | 7:46 pm
SHAH ALAM: Pakatan Anak-anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB) hari ini mengutuk tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu.
Mereka juga mengecam Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan telah melanggar prinsipnya untuk tidak mengamalkan nepotisme serta kronisme dengan memilih isterinya sendiri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor yang baharu.
"Anwar Ibrahim harus ingat deklarasi Permatang Pauh 1998, antaranya melarang, membenci, melaknat nepotisme dan kronisme, dan amat membenci rasuah tetapi apa yang jadi sekarang di Selangor... rakyat negeri Selangor kerana diperdayakan dengan 'Kajang Move' (Langkah Kajang)," kata Pengerusi PASMEB Petaling, Hanafiah Husin di hadapan kediaman rasmi Abdul Khalid pada Ahad.
Katanya lagi, kredibiliti Anwar sering dipertikaikan oleh mendiang Karpal kerana selalu bertindak dahulu sebelum apa-apa perbincangan dilakukan.
"Dan Anwar Ibrahim harus bertaubat. Dan ingat ya... kalau Karpal Singh masih ada, dah tentu dia akan kata "Anwar, sudah cukup kamu timbulkan banyak masalah dalam negara ini"," tegas Hanafiah.
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan pemecatan Abdul Khalid sebagai satu langkah untuk menghalang beliau dari menjadi Timbalan Presiden PKR yang baharu kerana beliau (Abdul Khalid) hanya 900 undi di belakang penyandangnya, Azmin Ali.
Sementara itu Ketua Wanita PASMEB, Norasmah Baharuddin dengan nada marah menyifatkan Anwar sebagai 'pengkhianat kepada anak Selangor' kerana mementingkan kepentingan peribadi.
"Inikah perjuangan dia selama ini untuk mempertahankan keadilan? Untuk membela rakyat kononnya. Rupanya untuk memperjuangkan hak peribadi sendiri!" tegasnya.
Terdahulu, PASMEB membatalkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi 'Menyelamatkan Pemerintah Selangor dan Dana Selangor' di hadapan kediaman Abdul Khalid jam 2.00 petang tadi.
Menurut Pengerusi PASMEB, Mazli Saring, pembatalan itu dibuat selepas pihaknya mendapat arahan dari Abdul Khalid sendiri untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti mahupun mengeluarkan sebarang kenyataan media sehingga diberitahu kelak.
"Progran hari ini terpaksa kami tundakan sehingga keputusan dan nasihat daripada pihak Menteri Besar untuk membuat apa-apa kenyataan dan apa-apa program.
"Jadi sepatutnya semalam rakyat dah menunjukkan sokongan untuk hadir ke rumah rasmi Menteri Besar untuk menyatakan sokongan... jadi PASMEB mengajak rakyat untuk sama-sama memberi sokongan dan solidariti kepada Menteri Besar," katanya kepada pemberita.
PASMEB turut bertegas menentang pemecatan Abdul Khalid itu, dan memberitahu beliau masih ada 14 hari lagi untuk membuat sebarang rayuan.
Pembatalan demostrasi di kediaman Abdul Khalid itu diumumkan oleh Mazli kira-kira jam 2.50 petang setelah beliau mendapat nasihat untuk menunda program tersebut pada jam 1 tengahari.
Abdul Khalid pada Sabtu telah dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/anwar-ibrahim-harus-bertaubat-kata-kumpulan-penyokong-mb-khalid-41642?cp
Labels:
Politik