Home » » Murid OKU dakwa dipukul hingga lebam

Murid OKU dakwa dipukul hingga lebam

Written By aku on Friday, 8 August 2014 | 2:36 pm


JERTIH - Seorang murid OKU sebuah sekolah rendah di sini, mendakwa dipukul seorang guru lelaki sehingga lebam di beberapa anggota badan, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Hakimie Hamzah, 10, dari Kampung Pengkalan Buluh dekat Kampung Tok Raja di sini mengadu ditampar dan dirotan serta dicubit oleh guru terbabit.

Bapa mangsa, Hamzah Awang, 64, berkata, ketika dia pergi mengambil anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 12.50 tengah hari kelmarin, dia mendapati anak kelima daripada enam beradik itu keluar dari sekolah dalam keadaan menangis.

Menurutnya, apabila sampai di rumah dia mendapati terdapat kesan rotan di punggung anaknya selain lebam pada bahagian kiri dan kanan telinga serta di kiri perut.

“Setelah diperiksa saya dapati ada kesan cubitan yang banyak dan jelas di bahagian bawah ketiak dan dada anak saya,” dakwa petani ini.

Hamzah berkata, dia kemudiannya menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Besut selepas keadaan telinga mangsa yang berair selepas kejadian tersebut selain mengadu sakit di kedua-dua belah telinga dan badan

Hamzah berkata, isterinya ada ke sekolah dan bertemu salah seorang kakitangan di situ yang mendakwa melihat guru berkenaan menampar mangsa berulang kali, namun kakitangan itu tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya membantu menyapu ubat pada badan mangsa.

“Saya sangat kesal dengan perbuatan guru tersebut yang saya difahamkan baru bertukar ke sekolah itu. Selama empat tahun anak saya bersekolah di situ kejadian kelmarin adalah kali pertama menimpa anak saya.

“Saya difahamkan guru tersebut bertindak di luar batasan hanya kerana anak saya bergaduh dengan rakan sebayanya yang juga murid OKU. Takkanlah cikgu sampai bertindak begitu sekali sedangkan anak saya tak sempurna serba serbi,” katanya.

Hamzah yang kesal dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit bertindak membuat laporan di Balai Polis Jertih petang kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger