Semua Wakil Rakyat PAS Wajib Sokong Khalid - Timbalan MB Kelantan
Written By aku on Wednesday, 13 August 2014 | 8:36 pm
KOTA BHARU: Semua 15 wakil rakyat PAS di Selangor terikat untuk memberi sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Beliau berkata, sokongan itu adalah wajib dan mengikut keputusan yang dibuat Majlis Syura PAS yang menyokong Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga tamat penggal.
"Majlis Syura adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti, oleh itu semua pemimpin PAS dan wakil rakyat mesti mematuhi keputusan itu dan mereka perlu menyokong Khalid sehingga majlis itu membalikkan keputusan itu.
"Perintah itu juga diberikan kepada Exco PAS dalam kabinet Khalid," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.
Mohd Amar berkata, selagi exco DAP tidak meletak jawatan, ia menunjukkan bahawa mereka juga menyokong Khalid sebagai eksekutif tertinggi negeri walaupun pada dasarnya, DAP bersama PKR untuk menggulingkan Khalid.
"Secara teknikalnya, Khalid mempunyai mandat majoriti wakil rakyat dalam Selangor untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri besar," katanya.
Beliau menambah, krisis di Selangor adalah unik kerana Khalid adalah menteri besar pertama tanpa parti dalam sejarah politik Selangor.
---Sumber
Labels:
Politik