Home » » Seorang pembekal, 10 penagih air ketum ditahan

Seorang pembekal, 10 penagih air ketum ditahan

Written By aku on Thursday 2 October 2014 | 11:26 pm


BESUT - Sepuluh penagih air ketum yang sedang membeli bekalan daripada seorang pembekal terkejut apabila sekumpulan anggota polis menyerbu dan   memberkas mereka di sebuah rumah di Kampung Kuala Kubang dekat Jabi di sini, semalam.
(Gambar Sekadar Hiasan)
Kesemua suspek berumur 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam operasi yang bermula pukul 5 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata operasi yang membabitkan sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jertih itu menahan suspek yang juga pemilik rumah berusia 40 tahun dan merampas 50 bungkus plastik air dipercayai air ketum dan 6 kilogram daun ketum.

"Selepas menangkap pembekal itu, kita kemudiannya menunggu di kawasan rumah suspek sebelum memberkas seorang demi seorang penagih yang datang ke  rumah itu untuk mendapatkan bekalan air ketum," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khaled berkata, kebanyakan suspek tidak menyangka polis menunggu kehadiran mereka dan ini menyebabkan kesemuanya tergamam apabila diberkas sebaik  masuk ke perkarangan rumah itu.

Menurut Khaled, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Jertih untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah (BSJN).

"Hasil saringan air kencing mendapati empat daripada 11 suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger