Pemuda UMNO bawa kes mak nyah ke Perhimpunan Agung
Written By aku on Sunday, 16 November 2014 | 1:26 pm
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO akan membawa isu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki berpakaian wanita, sebagai usul untuk dibincangkan dalam mesyuaratnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 hujung bulan ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan itu bagi menyatakan pendirian sayap UMNO itu terhadap isu terbabit yang menurutnya membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya orang Islam.
"Bahawasanya ada kebimbangan dalam kalangan orang Melayu ... soal rayuan (keputusan mahkamah) itu kita serahkan kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk melakukannya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi 'Townhall Meeting' pada majlis Hari Terbuka Pergerakan Pemuda Umno, di sini, hari ini.
Khairy berkata, perkara itu akan dibincangkan secara serius pada mesyuarat itu dan beberapa cadangan dijangka dikemukakan kepada kerajaan.
Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata sayap Pemuda parti komponen BN perlu bangkit segera dan memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dalam memenangi hati golongan muda.
Katanya, walaupun ada parti komponen yang masih melalui proses pemulihan, namun beliau berharap ia dapat dipercepatkan memandangkan BN menghadapi ujian getir ketika ini terutama dalam soal sokongan golongan muda.
Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata nasihat Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang menyarankan supaya kes doping Datuk Lee Chong Wei tidak dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), adalah 'nasihat yang pelik'.
Katanya, saranan itu seolah-olah menggambarkan apabila seseorang itu dibawa ke mahkamah dan didapati bersalah, dia tidak boleh membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
"Sekiranya kita dapati bahawa keputusan perbicaraan di peringkat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak memihak kepada Chong Wei, Chong Wei ada hak untuk bawa kes kepada CAS.
"Ini tidak bermaksud Malaysia tidak serius dalam isu doping, tidak bermaksud bahawa kita tidak terima keputusan BWF ... kita terima keputusan BWF tetapi kita masih lagi ada ruang (untuk membuat rayuan) dan bawa ke CAS," katanya.
Baru-baru ini, Chong Wei disahkan positif bahan terlarang 'dexamethasone' dalam ujian sampel B yang dilakukan di Hospital Universiti Olso, Norway.
Labels:
Politik