Home » » Tiada kelibat gajah liar sejak minggu lalu

Tiada kelibat gajah liar sejak minggu lalu

Written By aku on Thursday 10 March 2016 | 6:45 pm


HULU BESUT - Usaha anggota Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menangkap gajah liar yang menghampiri rumah dan memusnahkan tanaman penduduk di Sungai Lah dekat Lata Tembakah di sini, seolah-olah dapat dihidu haiwan liar tersebut.

Petani, Ramli Ismail, 61, berkata, sejak anggota jabatan berkenaan melakukan operasi mengesan dan menangkap haiwan itu, kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.

Menurutnya, gajah tersebut seperti tahu ia sedang diburu untuk ditangkap dan dipindahkan ke tempat lebih sesuai.

“Sejak akhir minggu lepas gajah itu tak muncul di kebun penduduk atau rumah sebaliknya dikatakan bersembunyi di dalam hutan berhampiran sebelum ke kawasan lebih pedalaman,” katanya.

Ramli berkata, penduduk lega sekiranya gajah tersebut bergerak ke kawasan lain kerana mereka dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa tanpa bimbang keselamatan di samping tidak berdepan masalah kemusnahan tanaman.

Menurutnya, penduduk berharap gajah itu ditangkap untuk memastikan ia tidak datang ke kawasan ini memandangkan ia pernah datang pada Disember tahun lalu.

“Akhir tahun lalu seekor gajah jantan masuk kawasan kebun kemudian menghilangkan diri bila dikawal Perhilitan sebelum datang semula akhir bulan lalu,” katanya.

Katanya, penduduk mengalami kerugian apabila tanaman yang hampir mengeluarkan hasil musnah sekelip mata.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger