Home » » Sidang DUN : Fasiliti Dua Sekolah Elit Dinaiktaraf

Sidang DUN : Fasiliti Dua Sekolah Elit Dinaiktaraf

Written By aku on Thursday 10 March 2016 | 6:54 pm


Dua buah sekolah elit di Terengganu bakal dinaiktaraf kemudahan fasilitinya bagi meningkatkan kembali prestasi sekolah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata prestasi dua buah sekolah tesebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam, Kemaman dan SMK Lembah Bidong, Setiu dilihat merosot terutamanya dalam peperiksaan awam.

Beliau berkata, menyedari hakikat tersebut, pihak kerajaan negeri akan mengambil langkah antaranya kerjasama bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan sokongan beberapa agensi kerajaan negeri.

“Pertama kita akan cuba meningkatkan kualiti kepimpinan guru kerana kekuatan sesebuah sekolah terletak pada mereka dan juga pengetua yang berkualiti.

“Modul pembentukan sosial akhlak pelajar turut akan disediakan kerana mereka perlu diberi semangat serta motivasi supaya lebih bersemangat untuk meneruskan pelajaran,” katanya.

Beliau mengulas demikian sebagai menjawab kenyataan Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (BN-Air Putih) berhubung isu prestasi sekolah elit yang merundum, ketika sesi penggulungan, Persidangan DUN, hari ini.

Tambah Ghazali, fasiliti di sekolah itu turut akan dinaiktaraf seperti bilik pembelajaran, makmal, dewan dan sebagainya.

Tambahnya, beberapa silibus baharu akan diperkenalkan di sekolah tersebut bagi menaikkan lagi prestasinya sesuai dengan sekolah elit.

“Kelas bahasa antarabangsa serta Bahasa Inggeris akan diperkenalkan di sekolah elit bagi menjadikkannya lebih menarik berbeza dengan sekolah-sekolah lain.

“Selain itu, sekolah ini akan memulakan sesi pembelajaran menggunakan sistem i-Class supaya pengajaran dan pembelajaran semakin menarik,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger