Home » , » Bekas pemain bola sepak dipenjara

Bekas pemain bola sepak dipenjara

Written By aku on Friday 11 March 2016 | 2:14 pm


KUALA TERENGGANU - Bekas pemain pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam, kerana memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam satu kes perbicaraan mengatur perlawanan bola sepak membabitkan pasukan itu dengan pasukan Pahang, enam tahun lalu.

Mohd Azuan Hussein, 21, dari Kampung Pak Sik, Jertih, Besut, dijatuhi hukuman terbabit selepas didapati bersalah atas tuduhan keterangan tidak selaras diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dengan keterangan semasa dalam perbicaraan pada 3 Disember 2012.

Dia didapati bersalah memberi keterangan bercanggah pada 3 Disember 2012, kira-kira jam 10 pagi hingga 1 tengah hari ketika menjadi saksi kes perbicaraan bekas jurulatihnya, Sufian Ngah dan K Rajendran di Mahkamah Sesyen, di sini.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azuan didakwa memberi keterangan berbunyi “Sebelum perlawanan dengan negeri Pahang, Sufian Ngah tiada berjanji atau suruh berbuat apa-apa dalam perlawanan ini."

Bagaimanapun, keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan tertuduh kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Ahmad Syukri @ Senek Mustafa pada 4 Jun 2011 iaitu “Game seterusnya pada T-Team menentang pasukan Pahang bertempat di Kuantan, juga pada bulan Febuari 2010. Sebelum game bermula, Sufian telah bagi arahan kepada saya, Shaqudin, Azwan Ali, Nizam dan Nazmir supaya T-Team menang.Saya telah lupa berapakah gol yang mesti menang. Menurut Sufian jika arahan beliau dipatuhi, saya berlima akan diberikan duit oleh bookie."

Dengan itu, Mohd Azuan dituduh mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum menurut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Hakim Murtazadi Amran manakala dia diwakili peguam bela Kamaruzaman Wahab.

Terdahulu, Murtazadi dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil berat dan  memandang serius berhubung kesalahan melibatkan jenayah rasuah.

“Mahkamah tidak akan sesekali memberi muka kepada pesalah yang terlibat dengan jenayah rasuah dan disebabkan itu, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun kepada pesalah.

“Bagaimanapun, dalam kes tertuduh, mahkamah mengambil kira faktor usianya masih muda dan percaya punyai masa depan cerah, jadi mahkamah memberi sedikit peluang kepadanya dengan harapan hukuman yang diberikan dapat memberi keinsafan untuk dirinya," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger