Home » » Sekolah Model Komprehensif Tempatkan Pelajar Menengah Di Pulau Redang, Perhentian

Sekolah Model Komprehensif Tempatkan Pelajar Menengah Di Pulau Redang, Perhentian

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 8:54 pm


Dua sekolah model komprehensif akan diwujudkan di Pulau Redang, Kuala Terengganu dan Pulau Perhentian, Besut selewat-lewatnya tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata, projek untuk mewujudkan sekolah itu tidak membabitkan peruntukan yang tinggi kerana hanya satu bangunan baharu akan dibina di dalam kawasan sekolah sedia ada.

Katanya, bangunan itu akan mengandungi lapan bilik darjah untuk menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga.

“Dua pulau peranginan terbabit sudah mempunyai sekolah rendah dan kerajaan akan membina satu bangunan tambahan di dalam kawasan berkenaan untuk menempatkan pelajar menengah.

“Apabila pembinaan bangunan sekolah model khas komprehensif siap, pelajar daripada pulau peranginan itu tidak perlu untuk ke tanah besar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sekolah menengah.

“Pengumuman mengenai pembinaan sekolah itu dimaklumkan Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Mahdzir Khalid ketika saya bersama Pengarah Pelajaran Negeri, Shafuddin Ali Hussin dan beberapa yang lain mengadakan kunjung hormat di pejabatnya di Putrajaya, kelmarin,” katanya.  

Ghazali berkata, KPM juga bersetuju membina kompleks sekolah yang akan menggabungkan tiga Sekolah Kebangsaan (SK) di Hulu Dungun.

Katanya, kompleks sekolah itu akan menggabungkan SK Pasir Raja, SK Kampung Sukur serta SK Jongok Batu dan apabila projek itu siap dilaksanakan, ia mampu menampung lebih 400 pelajar.

“Tiga sekolah itu sering ditenggelami banjir pada setiap musim tengkujuh dan masalah berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kompleks siap dibina,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger