Home » » Bandar Wakaf Di Kuala Nerus Siap Dalam Tempoh Empat Tahun Setengah

Bandar Wakaf Di Kuala Nerus Siap Dalam Tempoh Empat Tahun Setengah

Written By aku on Wednesday 4 November 2015 | 8:58 pm


Terengganu bakal membangunkan Bandar Wakaf pertama di Malaysia di kawasan seluas 8.8 hektar dalam Bandar Baharu Kuala Nerus yang juga dikenali sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah, tidak lama lagi.

Pembangunan bandar baharu yang berkeluasan hampir 4,000 hektar itu melibatkan peruntukan kira-kira RM600 juta dijangka mengambil masa empat tahun setengah dengan menggunakan konsep pembangunan berpusat sepertimana Pusat Pentadbiran Putrajaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula akan membangunkan pusat perniagaan, perumahan dan hotel di Bandar Wakaf  yang akan memberi manfaat kepada golongan asnaf dan miskin yang layak di Terengganu bagi menaiktaraf kehidupan golongan itu.

“Dalam kawasan itu kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan satu kawasan kepada Maidam bagi membangunkan Bandar Wakaf yang merangkumi pusat perniagaan, perumahan dan hotel. Buat masa sekarang kawasan meliputi 8.8 hektar dan akan diperhalusi balik oleh Maidam untuk menambah keluasannya pada masa akan datang.

“Konsep wakaf ini akan membantu golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan terutama pelajar dan peniaga bagi meringankan beban mereka. Peniaga akan menyewa kedai secara percuma demi membantu meningkatkan ekonomi umat Islam. Manakala pelajar universiti yang miskin boleh tinggal di kawasan perumahan (dalam bandar baharu) untuk meringankan beban kewangan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Sebelum itu, Ahmad Razif menyaksikan penyerahan zakat perniagaan RHB Bank Islamic Bank Berhad bagi tahun berakhir 2014 kepada Maidam berjumlah RM150,000.

Maidam diwakili Yang Dipertuanya, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, manakala Pengarah Urusan RHB Islamik Bank Berhad, Ibrahim Hassan mewakili institusi kewangan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan membayar kepada pemaju projek pembangunan bandar baharu itu secara ansuran setiap tahun sehingga tempoh 10 tahun dan tidak mengeluarkan bajet besar bagi membiayai keseluruhan projek itu.

Katanya, bandar wakaf itu pula adalah hasil cadangan Maidam dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Bhd, (WANCorp), iaitu institusi waqaf korporat pertama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger