Home » » Dua suspek menyamar polis ditahan samun buruh

Dua suspek menyamar polis ditahan samun buruh

Written By aku on Monday 15 June 2015 | 4:16 pm


BESUT - Dua suspek lelaki ditahan polis manakala seorang lagi masih bebas setelah menyamun dua buruh warga Bangladesh di rumah kongsi mereka di Jalan Pondok Nyamuk Jabi dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, suspek yang berusia 20 dan 27 tahun itu ditahan semalam selepas seorang mangsa samun, warga Bangladesh berumur 26 tahun membuat laporan polis di Balai Kampung Raja pada hari kejadian.

Khaled berkata, dalam kejadian 9 malam itu, dua buruh Bangladesh yang sedang duduk berehat di rumah kongsi mereka, didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.

"Suspek telah mengambil pasport dan visa kedua-dua mangsa, beg pakaian mereka, telefon bimbit milik kedua-dua buruh berkenaan serta wang tunai sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Satria Neo berwarna putih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas polis berjaya mengesan kereta yang digunakan suspek melalui alamat yang diperoleh daripada maklumat kereta berkenaan sebelum menahan dua suspek itu dan merampas kereta suspek Satria Neo yang dipercayai digunakan dalam kes samun berkenaan.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan seorang lagi rakan suspek sedang diburu. -  Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger