Home » » Pakatan kini berakhir, tunggu masa dikebumi, kata Kit Siang

Pakatan kini berakhir, tunggu masa dikebumi, kata Kit Siang

Written By aku on Saturday 6 June 2015 | 11:35 pm


Pakatan Rakyat (PR) kini berada di penghujung jalan dan yang tinggal hanya upacara pengebumiannya, kata veteran DAP Lim Kit Siang, susulan keputusan PAS meluluskan tanpa bahas usul memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti itu dalam muktamar tahunannya.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, ramalannya sejak dua minggu lepas menjadi kenyataan, yang PR mungkin tidak wujud lagi selepas muktamar PAS itu.

"Ramalan saya yang PR mungkin tiada lagi dalam masa dua minggu nampaknya kini menjadi kenyataan dan apa yang tinggal hanyalah sekadar upacara pengebumiannya," katanya dalam satu ucapan dramatik pada majlis perayaan dumpling di kawasannya di Gelang Patah hari ini.


"Apa yang berlaku sudah pasti satu kemenangan bagi pakar strategi dan perancang plot dalam Umno dalam konspirasi mereka membahagi dan menghancurkan PR dengan godaan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS dan pelaksanaan hudud di Kelantan."
Ini berikutan langkah Dewan Ulama PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP dan terus kekal dalam PR.

Usul itu pertama kali dibentangkan ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik, yang berkata tindakan DAP melanggar batasan tingkah laku yang boleh diterima.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan berkata semalam,  dewan itu meluluskan usul itu sebagai membalas dendam kerana terlalu banyak serangan dilakukan DAP terhadap parti Islam itu selama ini.

Ulama meluluskan usul itu pada muktamarnya pada Rabu, dan ia diluluskan tanpa bahas oleh PAS Pusat pada muktamar tahunannya semalam.

Lim yang juga ketua Parlimen DAP berkata, keputusan itu bermakna politik Malaysia kini memasuki wilayah baru yang belum diterokai dan akan menerima kesannya dengan serta-merta.

"Di Pulau Pinang sebagai contoh, usul muktamar PAS itu akan membuatkannya mustahil bagi wakil PAS untuk terus bekerja di pelbagai peringkat dalam kerajaan negeri.

"Di Selangor, senario paling buruk akan termasuk pilihan raya negeri terpaksa diadakan," katanya.

Terdahulu hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau akan menerima dengan segera tanpa sebarang soalan peletakan jawatan wakil PAS berikutan keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Katanya, wakil PAS "tiada pilihan selain meletakkan jawatan" dalam kerajaan negeri, agensi serta majlis perbandaran dan jawatankuasa kampung berikutan keputusan itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, bagaimanapun berkata, walaupun usul itu diluluskan, keputusan itu belum muktamad kerana ia masih perlu dibincangkan Jawatankuasa Pusat parti itu dan Majlis Syura Ulama. – 6 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pakatan-kini-berakhir-tunggu-masa-dikebumi-kata-kit-siang#sthash.1HNibPzP.dpuf
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger