Home » » Pesuruhjaya PAS Terengganu minta Pulau Pinang bubar DUN

Pesuruhjaya PAS Terengganu minta Pulau Pinang bubar DUN

Written By aku on Saturday 13 June 2015 | 3:15 pm


SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Terengganu Saiful Bahri Mamat berkata lebih baik DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sekiranya berhasrat memecat pemimpin PAS yang mempunyai jawatan dalam kerajaan dan agensi negeri itu.

Katanya, tidak ada mana-mana parti dalam pakatan pembangkang yang mempunyai kuasa veto atau pemberi kata putus sama ada PAS, DAP mahu pun PKR.

"Di Pulau Pinang, ketika menang dulu, atas nama PR (Pakatan Rakyat). Kalau rasa PAS tidak perlu lagi... bubarlah Dewan.

"Sekurang-kurangnya DAP boleh lihat kedudukan mereka tanpa sokongan Melayu, Islam dan ahli PAS," katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.

Saiful berkata demikian ketika mengulas tindakan DAP yang mengalu-alukan pemimpin PAS dalam kerajaan negeri meletak jawatan susulan keputusan muktamar parti Islam itu memutuskan hubungan dan kerjasama antara mereka.

Beliau mendakwa, pihak terlibat dalam DAP tidak memahami prosedur PAS atau mempunyai agenda tertentu kerana mereka membuat kenyataan mendahului keputusan muktamad parti Islam itu.

Pada masa sama beliau menyatakan, peletakan jawatan PAS di Pulau Pinang tidak memberi kesan yang besar sekiranya parti itu mengambil keputusan muktamad memutuskan hubungan dengan DAP.

"Dalam isu ini saya dimaklumkan, perjawatan PAS tidak banyak pun. Bukan jawatan yang besar dan tidak beri kesan besar sangat," katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memuji pendekatan yang diambil bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang melepaskan jawatannya dalam pentadbiran di Pulau Pinang, sebaik saja muktamar meluluskan usul putus hubungan berkenaan.

Mat Sabu melepaskan jawatannya sebagai pengarah dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Penang International Halal Hub, sebagai 'menepati' keputusan muktamar yang meluluskan usul itu.

Tindakan beliau disusuli oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meletakkan jawatan sebagai anggota lembaga Yayasan Islam Pulau Pinang  dan ahli lembaga pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger