Home » » Rumah kekal lewat sebab masalah tanah

Rumah kekal lewat sebab masalah tanah

Written By aku on Tuesday 14 July 2015 | 11:26 am


KOTA BHARU - Kelewatan menyiapkan rumah kekal baharu (RKB) kepada rakyat yang kehilangan rumah akibat banjir di Kelantan bukan berpunca daripada kontraktor yang diberi tanggungjawab membina rumah tersebut.

Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berkata terdapat kira-kira 2,000 kontraktor kelas G1 di Kelantan yang bersedia untuk membina dan menyiapkan rumah tersebut apabila tender pembinaan rumah itu diberikan kepada mereka.

"Punca utama beratus lagi rumah RKB tidak dapat dibina adalah kerana kerajaan negeri Kelantan gagal untuk menyediakan tanah untuk dijadikan tapak rumah kepada mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri untuk didirikan rumah tersebut," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Rosdi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kontraktor dikatakan antara punca yang menyebabkan pembinaan 1,827 RKB kepada mangsa banjir di negeri ini 'perlahan' dan gagal disiapkan sepenuhnya walaupun setelah enam bulan bencana banjir melanda Kelantan.

Kerajaan persekutuan akan membina 1,255 buah RKB manakala kerajaan negeri sebanyak 572 RKB. Setakat 30 Jun lalu, 61 RKB telah siap dibina manakala 836 RKB dalam fasa pembinaan dan 930 RKB lagi belum dibina.

Mohd Rosdi berkata kerajaan negeri sepatutnya memudahkan penyediaan tapak rumah tersebut kerana tanah di bawah bidang kuasa mereka dan kerajaan persekutuan sudah menyediakan peruntukan secukupnya untuk pembinaan rumah berkenaan.

"Apa salahnya kalau sudah 20 tahun, 30 tahun mangsa banjir tinggal di tanah kerajaan negeri maka keluarkanlah geran hak milik bagi membolehkan rumah kekal baharu dibina untuk mereka. Tindakan ini kerana kita berada dalam situasi bencana alam yang memerlukan tindakan segera diambil," katanya.

Beliau berkata kerajaan persekutuan merancang untuk membeli tanah milik individu untuk dijadikan tapak rumah berkenaan, bagaimanapun kerajaan negeri perlu memudahkan proses dokumentasi seperti penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan.

Katanya pihak kontraktor sentiasa memberi kerjasama membantu kerajaan untuk menyediakan rumah kekal baharu kepada kesemua mangsa banjir yang terlibat di negeri ini. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger