Home » » Pukul rakan: Tujuh pelajar ditahan

Pukul rakan: Tujuh pelajar ditahan

Written By aku on Tuesday 18 August 2015 | 1:12 pm


KEMAMAN - Seramai tujuh pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes pukul seorang rakan setingkatan mereka selepas rakaman video kejadian itu tersebar luas di media sosial sejak malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, kesemua remaja lelaki itu ditangkap di sekitar Kuala Terengganu antara jam 12.20 hingga 12.50 pagi semalam.

Akibat dibelasah, mangsa yang juga berusia 14 tahun mengalami lebam dan lemah anggota badan serta gagal hadir ke sekolah.

Katanya, kejadian itu berlaku pada jam 3 petang pada Khamis lalu dan dari siasatan awal, insiden itu berlaku selepas ejek mengejek dan tolak menolak antara mangsa dan kumpulan pelajar berkenaan.

“Dalam insiden itu, enam pelajar tersebut bertindak membelasah mangsa di satu lokasi dan seorang lagi merakam perbuatan itu. Kemudian rakaman itu disebarkan dalam group WhatsApp kumpulan pelajar itu sebelum tersebar ke laman Youtube, Facebook dan media sosial lain.

“Berikutan penyebaran video berkenaan, bapa mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 11 pagi semalam (kelmarin),” katanya kepada pemberita semalam.

Dalam video berdurasi 1 minit 45 saat berkenaan, mangsa yang masih lengkap berpakaian seragam sekolah dan menggalas beg berwarna hitam kelihatan dibelasah bertubi-tubi oleh kumpulan pelajar itu, yang seorang daripadanya memakai baju sukan sekolah.

Bertindak atas laporan yang diterima, Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya memberkas enam suspek di sebuah warung manakala seorang lagi ditahan di rumah.

Beliau berkata, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan insiden tersebut tercetus disebabkan dendam, namun siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

JPNT akan keluar laporan penuh siasatan

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan mengemukakan laporan penuh siasatan mengenai kes buli melibatkan pelajar sekolah menengah di sini yang menjadi viral di laman sosial facebook.

Pengerusi Jawatan Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, video itu dipercayai melibatkan pelajar tingkatan dua di sekolah berkenaan.

“Kita percaya, kejadian yang berlaku di luar kawasan sekolah itu turut disaksikan beberapa lagi individu lain, dipercayai pelajar tingkatan empat,” katanya.

Mengulas mengenai motif kejadian, beliau berkata, siasatan mendapati ia berpunca daripada masalah kecil, iaitu salah faham dan rasa tidak puas hati yang melibatkan emosi remaja sehingga membawa kepada kejadian itu.

“Walaupun pelajar terbabit dipercayai hanya mendapat kecederaan ringan, perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku dalam kalangan kita terutama sekali pelajar sekolah yang mana menggambarkan unsur-unsur gengsterisme telah ada pada diri mereka.

“Saya telah minta pihak sekolah bertindak tegas dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Saya juga minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT) dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin turun ke sekolah terbabit untuk mendapatka maklumat dan satu laporan lengkap akan dihantar kepada saya,” katanya.

Ghazali berkata, pihak JPNT akan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini kerana kerajaan amat komited dalam menangani masalah berkaitan kes buli di sekolah, malah mana-mana individu didapati bersalah, tidak akan terlepas dari undang-undang.

“Pihak jabatan akan ambil tindakan tegas dalam kes ini malah laporan polis juga telah dibuat. Jika didapati pihak sekolah ada mengabaikan pelajar sehingga berlakunya kejadian itu, pihak pengurusan sekolah juga tidak akan terlepas daripada tindakan kerana kita mahu beri pengajaran kepada individu lain.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil memberikan kerjasama kepada JPNT dan pihak polis. Insha-AZLLAH, pihak polis dan JPNT akan bertindak sewajarnya,” katanya.

Ghazali berkata, berdasarkan undang-undang terhadap kes buli, beliau berkata, mereka yang terlibat ada antaranya boleh diberhentikan atau dibuang sekolah, digantung atau ditukar sekolah lain.

“Sekiranya perlu atau membabitkan jenayah serius, pelajar terbabit akan dimasukkan ke sekolah juvana atau sekolah-sekolah yang dikhaskan untuk pelajar bermasalah. Ia semua bergantung kepada hasil siasatan yang diperoleh.

“Pihak sekolah melalui guru disiplin, lembaga disiplin sekolah, pengetua dan penolong kanan hal ehwal pelajar akan bermesyuarat mengenai perkara ini berhubung tindakan yang akan dikenakan,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger