Home » » Lelaki maut dihempap jentolak

Lelaki maut dihempap jentolak

Written By aku on Tuesday 18 August 2015 | 1:18 pm


RAUB -  Seorang pemandu jentolak maut tersepit di bawah jentolak yang dipandunya dalam satu kejadian kemalangan yang berlaku di Hutan Simpan Krau, di sini sekitar jam 1.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Wong Ah Kew, 66, sedang melakukan kerjanya.

“Berdasarkan siasatan mendapati mangsa sedang memandu jentolak jenis Komatsu EM dalam kawasan pembalakan.

“Semasa mangsa sedang memandu jentolaknya mendaki bukit, secara tiba-tiba jentolak tersebut rosak,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan jentolak tersebut menggelongsor ke belakang dan terbalik.

“Sebaik jentolak terbabit terbalik, mangsa dikatakan tersepit di bawah jentolaknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raub untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

"Mangsa yang mempunyai lesen memandu jenis kelas I berasal dari Taman Raub Jaya 5, di sini," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger