Home » » Wujud pusat hemodialisis di setiap Parlimen

Wujud pusat hemodialisis di setiap Parlimen

Written By aku on Tuesday 4 August 2015 | 2:08 pm


JERTIH - Pembinaan dan pembukaan Unit Hemodialisis di Parlimen Dungun dan Besut adalah bukti kerajaan negeri Terengganu menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pembinaan Pusat Hemodialisis RTC Ketengah di Dungun yang beroperasi sejak 8 April lalu merupakan yang pertama dibina di negeri ini hasil kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri dengan Ketengah.

Menurutnya, pusat hemodialisis kedua diwujudkan di Besut membabitkan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) dan Hospital Besut di kawasan Masjid Al Fakeh, Kampung Balik Bukit berhampiran Hospital Besut.

“Sudah tertulis dalam manifesto kita untuk mewujudkan pusat hemodialisis di setiap Parlimen di negeri ini dan syukur, janji itu sudah ditunai serta berjalan.

“Kita akan bina pusat ini secara perkongsian pintar antara agensi tertentu seperti Maidam atau Ketengah dengan Jabatan Kesihatan Negeri dalam menjayakan pembinaan pusat itu secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Hemodialisis Maidam-Hospital Besut, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Pangkuan Di Raja Merangkap Yang DiPertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail; Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar dan Pengarah Hospital Besut, Dr Asmaliza Abdul Rahman.

Muhammad Pehimi berkata lagi, pusat yang dalam pembinaan ialah Pusat Hemodialisis Kampung Maras, Batu Rakit masih dalam proses ubahsuai bangunan dan perancangan seterusnya adalah di daerah Kemaman dan Hulu Terengganu pada tahun 2016.

Kata beliau, pusat sama di Batu Rakit dirancang akan dibina pada 2017, diikuti di Setiu pada 2018.

“Melalui konsep perkongsian pintar ini Maidam atau agensi kerajaan lain akan menyedia kemudahan bangunan dan peralatan manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan kakitangan dan ubat-ubatan serta penyelenggaraan berterusan.

“Bagi pembinaan Pusat Hemodialisis Besut, Yayasan Wakaf Malaysia bersama Maidam menyumbang sebanyak RM2.8 juta bagi kos berkenaan termasuk tujuh unit mesin hemodialisis, malah Maidam turut terlibat untuk Pusat Hemodialisis Kampung Maras,” katanya.

Beliau berkata lagi, kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat terutama bagi pesakit buah pinggang di negeri yang memerlukan rawatan tersebut.

Katanya, pusat hemodialisis sedia ada masih tidak dapat menampung bilangan pesakit yang ramai dengan 140 hingga 160 pesakit baharu dilaporkan setiap tahun.

“Kos rawatan bagi setiap pesakit buah pinggang menjalani rawatan ini ialah sebanyak RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan atau pusat hemodialisis Parlimen dibiayai kerajaan bagi yang tidak berkemampuan,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger