Polis temui mayat Kevin Morais dalam tong konkrit di Subang Jaya
Written By aku on Wednesday, 16 September 2015 | 2:24 pm
SUBANG JAYA: Polis menemui mayat Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais dalam sebuah tong berisi konkrit di USJ Satu, Subang Jaya, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata, mayat Morais ditemui berikutan pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan di dua lokasi berbeza pada Selasa di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
"Jadi pada pagi di tempat ini kita telah mendapat bantan bomba, dan selepas tong drum ini dipecahkan kita menemui satu mayat yang kita percayai mendiang Kevin Morais, yang hilang.
"Walaupun bagaimanapun pengesahan tentang identiti sebenar akan dibuat apabila post mortem dijalankan petang ini oleh pathologist HKL (Hospital Kuala Lumpur). Kita jangkakan post mortem ini pada pukul 1.30 atau 2 petang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, mayat Morais dibawa ke Hospital Kuala Lumpur HKL untuk proses forensik dan pengesahan seterusnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa seorang pegawai tentera doktor yang telah dibicarakan atas dengan kes rasuah dua minggu lalu, telah ditahan termasuk tujuh lagi individu.
Mohmad juga memberitahu bahawa Morais telah mengendalikan kes pegawai tentera tersebut.
Beliau juga memaklumkan, setakat ini beberapa rampasan telah dibuat di Pulau Pinang dan Lembah Klang termasuk sebuah kereta Mitsubishi Triton, dan sebuah kereta Honda Accord yang digunakan salah seorang suspek serta wang tunai berjumlah RM17,100.
"Sementara di Lembah Klang, sebuah Proton Persona milik salah seorang suspek, wang tunai RM15,000 dan sekeping surat pembelian batu, pasir dan simen yang dipercayai digunakan untuk memampatkan mayat," katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohmad turut menolak segala spekulasi yang mengaitkan kes ini dengan pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi mahupun isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Di sini kita hendak nafikan bahawa kehilangan dan kematian Morais tidak ada kena mengena langsung dengan spekulasi yang dibuat sebelum ini.," katanya.
Siasatan sejak 6 pagi tadi itu, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang menjalankan pemeriksaan di USJ 1, bersama beberapa lelaki dipercayai suspek yang melarikan mangsa.
Morais dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kondominium Jalan DutaMas, 4 September lalu untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Labels:
Jenayah