Home » » Filem muzikal remaja, Sinaran gabungan tiga negara

Filem muzikal remaja, Sinaran gabungan tiga negara

Written By aku on Sunday 1 November 2015 | 6:43 am


PADA 26 November ini, sekali lagi filem arahan pengarah terkenal, Osman Ali akan menemui penonton dengan genre yang berbeza daripada kebiasaan pengarah ini hasilkan.

Bukan filem adaptasi atau filem seram, namun filem genre percintaan remaja yang diberi judul Sinaran, berlatar belakangkan muzikal yang kesemuanya adalah lagu daripada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid.

Mengakui ini kali pertama menghasilkan filem yang sedikit muzikal, memberikan satu pengalaman baharu kepadanya dalam dunia pengarahan.

Menurut Osman, idea asal untuk menghasilkan filem tersebut adalah cetusan daripada pihak penerbit sendiri iaitu Sinaran Pictures dari Singapura yang merupakan antara peminat setia, Sheila Majid.

"Daripada minatnya itu dan minat saya juga dalam menjadikan penyanyi itu sebagai idola telah memberikan idea agar menghasilkan satu filem yang punyai inspirasi daripada penyanyi tersebut.

"Oleh itu, filem arahan saya kali ini bergenre percintaan remaja dengan konsep muzikal kerana diselitkan beberapa nyanyian dan tarian di dalamnya.

"Pastinya, genre seperti ini amat jarang dilakukan oleh mana-mana filem tempatan, namun kami percaya ia dapat menarik remaja untuk menonton filem ini nanti yang sememangnya dekat dalam dunia mereka," katanya kepada Zass.

Memulakan penggambaran pada September tahun lalu, filem Sinaran ini juga mendapat kerjasama daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Kerjasama itu termasuk dari segi penerbitan, peralatan, pelakon, lokasi penggambaran dan tenaga kerja sendiri yang memberikan satu kelainan dan jalinan kerjasama yang baharu kepada kami semua.

"Namun kebanyakan penggambaran dilakukan di Singapura iaitu selama 30 hari, 25 hari di Malaysia dan tiga hari di Indonesia," katanya.

Osman berkata, pihak mereka memilih untuk kerjasama dalam filem tersebut kerana tidak mahu filem Sinaran menjadi filem Malaysia sahaja, tetapi mahukan satu filem pelbagai budaya.

"Ia penting untuk memasukkan budaya dari Indonesia dan Singapura kerana sasaran penonton kami mahukan daripada ketiga negara ini termasuk di Brunei.

"Walaupun ramai pelakon adalah dari Malaysia, tetapi kita tidak mahu ia menjadi filem Malaysia sahaja, tetapi filem tiga negara ini kerana ada juga diselitkan budaya negara Indonesia di dalamnya.

"Memang pada awalnya saya risau juga dengan pembikinan filem ini, namun saya percaya filem ini ada keistimewaan sendiri yang pastinya akan menarik penonton negara terlibat untuk menontonnya," katanya.

Tunjuk ajar koreografer

Sebagai pengarah yang baharu untuk filem konsep muzikal, Osman mengakui dirinya banyak mendapatkan perbincangan daripada koreografer tarian.

"Koreografer akan fokus pada nyanyian dan tarian, dan saya pula fokus pada lakonan dan penceritaan.

"Tetapi saya belajar juga sedikit sebanyak pergerakan tarian yang sesuai dengan penceritaan. Sebelum ini juga saya memang minat filem muzikal dan teater muzikal serta ada melakukan beberapa pembelajaran daripada penglihatan saya itu untuk mengarahkan filem ini," katanya.

Dalam muzikal, aspek yang penting juga kata Osman adalah pemilihan pakaian kerana dapat memperlihatkan emosi pelakon.

"Jika ceritanya sedih, maka tariannya perlu menunjukkan emosi sedih, jika gembira maka, emosi gembira perlu dipersembahkan, dan jika ketika emosi jatuh cinta, ada gerakan tariannya tersendiri.

"Itulah yang menariknya dalam filem Sinaran ini nanti yang pastinya memberikan satu kelainan kepada penonton," katanya.

Osman turut menjelaskan, untuk menggambarkan suasana ceria dalam penceritaan, maka nama Sinaran telah dipilih.

"Ia juga diambil sempena lagu Sheila Majid yang sangat popular itu," katanya.

Filem yang dibarisi pelakon Lisa Surihani, Evan Sanders, Izara Aishan, Syarif Sleeq dan Nadiah M Din ini mengisahkan tentang pelajar baharu kolej bernama Shila (Lisa Surihani) yang belajar mengenai cabaran dalam menjalani kehidupan dan dalam perhubungan cinta.

Di kolej itu juga bertemunya lima gadis muda yang bersama-sama menempuhi hari yang penuh dengan nilai kehidupan, cinta, persahabatan, cita-cita, dan pengkhianatan.

Pelakon perlu pandai menari

Berkongsi pula mengenai pemilihan pelakon, Osman memberitahu, sebenarnya ada antara beberapa nama pelakon terkenal Malaysia menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk dipilih pada permulaannya.

"Namun, bagi pihak penerbit dari negara lain, ada sebilangan nama pelakon sahaja yang mereka kenal.

"Nama Lisa Surihani dan Izara Aishah antara pelakon yang mereka kenali. Justeru daripada situ, saya memanggil pelakon yang telah disenaraikan untuk menghadiri sesi uji bakat.

"Uji bakat itu bagi mengetahui latar belakang setiap pelakon sekiranya mereka punyai sedikit asas tarian dan nyanyian.

"Oleh kerana filem ini ada konsep muzikal, maka setiap pelakon perlu menari dan menyanyi, oleh itu, pemilihan pelakon juga dipilih berdasarkan kriteria itu agar memudahkan penggambaran," katanya.

Bagi pelakon dari Singapura dan Indonesia iaitu Syarif Sleeq serta Evan Sanders, diketahui latar belakang mereka berdua sememangnya terkenal dalam bidang nyanyian dan pengacaraan di negara masing-masing.

"Maka, pemilihan mereka tidak salah kerana ada bakat dalam bidang nyanyian dan tarian sudah mereka miliki," katanya.

Penampilan khas Sheila Majid

Menguatkan lagi keyakinan dengan sambutan filem itu nanti, Osman berkata, hasil kerjasama tiga negara akan membolehkan  filem Sinaran terbitan Sinaran Pictures dan Nuansa Sdn Bhd ditayangkan secara serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 26 November ini.

"Tayangan di Indonesia pula, belum lagi mendapat pengesahan daripada pihak sana. Namun kami percaya filem ini akan mendapat sambutan di negara-negara terlibat apabila kebanyakan peminat Sheila ada di mana-mana.

"Seperti di Indonesia, baru saya tahu, di sana mempunyai ramai peminat lagu Sheila Majid. Dan apabila kami menyatakan filem ini ada menampilkan penyanyi tersohor itu, ramai teruja untuk menantikan tayangannya.

"Memang Sheila Majid akan muncul di dalam filem ini dengan satu watak ketika nyanyian bermula," katanya.

Justeru, harapan pengarah ini terhadap filem taruhannya kali ini mendapat sambutan daripada penonton.

"Filem ini mungkin ada yang salah anggap di mana menyatakan genre filem ini muzikal, namun sebenarnya ia lebih kepada penceritaan yang punyai sedikit elemen muzikal.

"Muzikal bukanlah fokus utama filem, tetapi penceritaan tentang cinta remaja itu yang cuba disampaikan," katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger