Pesona Terengganu 2015 Permulaan Bagi Tahun Melawat Terengganu 2017
Written By aku on Sunday, 1 November 2015 | 6:39 am
Pesona Terengganu 2015 yang diadakan selama lima hari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dijadikan sebagai titik permulaan dalam mempromosikan Terengganu bagi Tahun Melawat Terengganu 2017.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata dengan perasmian yang diadakan maka bermulalah untuk melakukan promosi bagi negeri Terengganu.
“Selepas selesai melakukan perasmian sebentar tadi, kita akan mula melakukan promosi untuk negeri ini yang mempunyai banyak potensi terutamanya dari aspek pelancongan.
“Bermula tahun 2016, kita akan adakan pula promosi besar-besaran sepanjang tahun itu bagi merealisasikan Tahun Melawat Terengganu 2017 mendapat sambutan hangat dari pelancong,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pesona Terengganu 2015 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesona Terengganu, Dato’ Mustafar Khalid.
Mengulas lanjut berkenaan program Pesona Terengganu 2015, Ahmad Razif berkata ianya akan dijadikan sebagai acara tahunan kerajaan negeri di bawah sekretariat Pesona.
Tambahnya, ianya mungkin akan diperluas sehingga ke luar negara jika tiada halangan.
“Selepas ini kita akan adakan Pesona Terengganu di Johor Darul Takzim berkemungkinan pada awal tahun hadapan.
“Di Dataran Merdeka pula kita tetap laksanakannya kerana ia akan dijadikan sebagai acara tahunan.
“Kita akan cadangkan kepada sekretariat Pesona untuk laksanakannya pada masa cuti sekolah dimana ramai pengunjung akan dapat hadir ke acara ini namun ianya bergantung atas keputusan perbincangan beberapa pihak,” katanya.
Labels:
Semasa