Home » » Terengganu guna sampah sarap hasil tenaga elektrik

Terengganu guna sampah sarap hasil tenaga elektrik

Written By aku on Sunday 1 November 2015 | 6:36 am


KUALA LUMPUR - Terengganu bakal menghasilkan gas mentana yang dapat menjana tenaga elektrik dengan menggunakan hasil kutipan sampah sarap menerusi projek 'Waste to Wealth' yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Projek itu merupakan hasil kerjasama kerajaan negeri itu dengan dua syarikat antarabangsa iaitu Syarikat Mercu Resolution Sdn Bhd dan Renescience A/S, anak syarikat DONG Energy yang berpangkalan di Denmark.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pada peringkat permulaan, kerja penyelidikan dan eksperimen akan dilakukan terlebih dahulu dengan kerjasama kedua-dua syarikat itu.

"Sekiranya eksperimen itu berjaya, maka Terengganu merupakan negeri pertama yang akan menjana tenaga elektriknya dengan menggunakan sampah sarap," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Syarikat Mercu Resolution Sdn Bhd dan Renescience A/S di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, projek itu mendapat pelaburan lebih RM1 bilion dan bakal mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada anak muda negeri itu.

Katanya selain mewujudkan suasana yang bersih dan kondusif, sampah sarap juga boleh berfungsi sebagai penjanaan ekonomi kerana ia dapat menghasilkan tenaga elektrik selepas diproses. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger